Rabu, 1 Disember 2021 | 4:02pm
Syarikat petroleum negara, PETRONAS - Foto hiasan
Syarikat petroleum negara, PETRONAS - Foto hiasan

PETRONAS anugerah dua kontrak di Sabah

KUALA LUMPUR: PETRONAS menganugerahkan dua kontrak Reka Bentuk Kejuruteraan Front End (FEED) kepada konsortium JGC Corporation-Samsung Heavy Industries dan SAIPEM Spa sebagai sebahagian daripada pertandingan dwi reka bentuk FEED antarabangsa untuk projek gas asli cecair (LNG) berhampiran pantai di Sabah.

Syarikat petroleum negara itu dalam satu kenyataan berkata, projek dengan kapasiti dua juta tan setahun (MTPA) adalah pertama seumpamanya di Malaysia.

Pertandingan reka bentuk FEED dijangka berlangsung dalam tempoh 10 bulan dengan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) dijangka pada akhir tahun depan.

Tertakluk kepada FID, kontraktor FEED yang memenangi kontrak berkenaan akan dipindahkan ke fasa Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC).

Loji LNG berhampiran pesisir pantai itu dijangka memulakan pemasangan, penyambungan dan pentauliahan sebelum sedia untuk dimulakan (RFSU) menjelang akhir 2026.

Menurut PETRONAS, reka bentuk dan pembinaan loji berhampiran pantai dijangka lebih mudah dan apabila siap, ia memiliki potensi meningkatkan masa pengeluaran memandangkan ia terletak dalam kawasan teluk terlindung berbanding kemudahan LNG terapung luar pesisir di laut terbuka.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas dan Tenaga Baharu PETRONAS, Adnan Zainal Abidin berkata, syarikat akan terus menyediakan akses yang lebih besar kepada sumber tenaga yang lebih bersih seperti gas asli.

"Pembangunan loji LNG berhampiran pantai pertama di Sabah mencerminkan kepakaran teknologi di mana kami terus berinovasi menerusi penyelesaian moden untuk meningkatkan sumber gas dengan cara yang optimum dan mesra alam," katanya.

Selepas projek berkenaan siap, loji LNG berhampiran pantai akan meningkatkan pengeluaran LNG Petronas berbanding kemudahan terapung dari 2.7 MTPA kepada 4.7 MTPA.

Ketika ini, PETRONAS mengendalikan dua kemudahan LNG terapung, PFLNG SATU dan PFLNG DUA, masing-masing di medan gas luar pesisir Kebabangan dan Rotan.

Berita Harian X