Rabu, 1 Disember 2021 | 3:30pm
Pharmaniaga beri tumpuan terhadap bekalan dos penggalak dan pembekalan untuk pasaran eksport vaksin Sinovac - NSTP/Faiz Anuar
Pharmaniaga beri tumpuan terhadap bekalan dos penggalak dan pembekalan untuk pasaran eksport vaksin Sinovac - NSTP/Faiz Anuar

Sinovac kaji keperluan bangunkan vaksin pelindung Omicron

KUALA LUMPUR: Kajian terperinci sedang dijalankan Sinovac Biotech Ltd sama ada terdapat keperluan untuk membangunkan vaksin baharu atau mengekalkan vaksin sedia ada bagi melindungi daripada penularan varian baharu, Omicron.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Bhd, Datuk Zulkarnain Md Eusope, berkata keputusan itu akan dibuat Sinovac sebaik saja hasil kajian yang sedang dijalankan itu diperoleh.

Justeru, buat masa ini, Pharmaniaga akan memberi tumpuan terhadap bekalan dos penggalak dan pembekalan untuk pasaran eksport vaksin Sinovac yang dikilangkan oleh anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) secara 'fill and finish', katanya.

"Ketika ini, Sinovac sedang menjalankan kajian mengenai varian Omicron. Jika terdapat keperluan untuk menukar vaksin berdasarkan hasil kajian, kemudian mereka akan bangunkan vaksin baharu.

"Setakat ini, saintis mereka (Sinovac) masih kekal dengan vaksin yang ada memandangkan vaksin itu adalah yang terbaik dalam melindungi daripada varian yang ada seperti Beta, Delta atau Gamma. Bagi varian Omicron, kita tidak tahu lagi sehingga hasil kajian diperoleh," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai rancangan Pharmaniaga susulan kemunculan varian Omicron pada sidang media sempena taklimat prestasi kewangan syarikat farmaseutikal itu bagi suku ketiga 2021 secara maya hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Urusan Pharmaniaga, Mohamed Iqbal Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Kewangan Pharmaniaga, Norai'ni Mohamed Ali.

Baru-baru ini, Pharmaniaga mengumumkan ia memasuki pasaran vaksin antarabangsa buat julung kali dengan mengeksport kumpulan pertama vaksin Sinovac ke Myanmar.

Ia berkata, di Myanmar, vaksin COVID-19 Sinovac akan dipasarkan oleh Hemas Mandalar Pharmaceuticals Ltd (Hemas Mandalar), syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di Myanmar, yang membuat tempahan awal sebanyak 200,000 dos vaksin COVID-19 Sinovac daripada Pharmaniaga.

Selain itu, Zulkarnain berkata, Pharmaniaga juga sedang berunding dengan beberapa negara di Asia Tenggara dan Afrika untuk membekalkan 'fill and finish' vaksin COVID-19 Sinovac.

Beliau berkata, pihaknya akan mengumumkan perkembangan terkini itu sebaik saja memperoleh kelulusan untuk membekalkan vaksin ke negara berkenaan.

"Diharapkan menjelang suku pertama 2022, negara berkenaan akan mula mengimport vaksin daripada Malaysia terutama 'fill and finish' yang dikilangkan Pharmaniaga," katanya.

Berita Harian X