Selasa, 30 November 2021 | 7:18pm
Menara Kembar Bank Rakyat di Kuala Lumpur. - NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN
Menara Kembar Bank Rakyat di Kuala Lumpur. - NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN

Bank Rakyat lancar platform perbankan maya 'Brick'

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat melancarkan platform perbankan maya, 'Brick' atau 'Bank Rakyat Quick' sebagai saluran alternatif kepada pelanggan untuk mengakses produk perbankan runcitnya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata pelanggan hanya perlu mengimbas Kod Repons Pantas (QR) untuk mendapatkan maklumat berkaitan produk bank serta membuat permohonan pembiayaan secara dalam talian.

"Dengan hanya mengimbas kod BRICK, pelanggan boleh terus membuat permohonan pembiayaan yang bersesuaian serta mendapatkan maklumat berkaitan produk dan perkhidmatan yang disediakan.

"Berkonsepkan mesra pengguna, BRICK merupakan medium digital terkini bagi mendekati pelanggan di seluruh negara tanpa sempadan secara komprehensif, mudah dan cepat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bank Rakyat berkata perkhidmatan ini disasarkan kepada pelanggan yang berhasrat untuk melanggan produk pembiayaannya, termasuk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, perkhidmatan takaful atau memohon menjadi ahli Kelab Nuri.

Untuk maklumat lanjut berkenaan platform BRICK, sila layari laman sesawang www.bankrakyat.com.my.

– Bernama

Berita Harian X