Selasa, 30 November 2021 | 6:36pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor. - NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor. - NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA

FGV raih untung besar RM1.02 bilion

zaky@bh.com.my

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) mencatat lonjakan ketara dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM1.02 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021, berbanding hanya RM27 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Prestasi kukuh syarikat perladangan tempatan itu diraih menerusi peningkatan 33 peratus tahun ke tahun dalam pendapatan kumpulan kepada RM13.39 bilion, manakala keuntungan operasi juga meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM1.16 bilion tahun ke tahun bagi tempoh dikaji.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor, berkata, peningkatan prestasi operasi kumpulan bagi sembilan bulan 2021 didorong oleh margin produk sawit yang lebih tinggi berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi.

"Prestasi positif ini juga dipacu margin keuntungan kasar yang lebih tinggi untuk Sektor Gula, serta jumlah pemprosesan dan caj pengendalian yang lebih tinggi untuk Sektor Logistik," katanya pada taklimat media hari ini.

Secara keseluruhan, bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 September 2021, FGV mencatatkan keuntungan operasi suku tahunan tertinggi sejak penyenaraian syarikat sebanyak RM636 juta berbanding RM322 juta pada suku yang sama sebelumnya.

Sektor Perladangan FGV, perniagaan utama kumpulan yang membentuk majoriti perniagaannya menyaksikan prestasi positif pada suku ketiga dengan jumlah keuntungan operasi sebanyak RM585 juta dengan pendapatan sebanyak RM4.68 bilion, masing-masing meningkat sebanyak 56 peratus dan 41 peratus didorong oleh harga MSM yang lebih tinggi dan jumlah baja yang lebih baik.

Keuntungan operasi bagi segmen huluan FGV di bawah Sektor Perladangan meningkat kepada RM548 juta bagi suku yang dikaji, kenaikan 54 peratus berbanding RM356 juta pada suku yang sama tahun lalu.

"Prestasi ini disumbangkan oleh margin produk sawit yang lebih tinggi berikutan harga purata MSM yang lebih tinggi iaitu RM3,798 setiap tan," jelas Mohd Nazrul.

Bagaimanapun, di peringkat operasi huluan, FGV melaporkan penurunan 17 peratus bagi pengeluaran tandan buah segar (TBS) dan hasil masing-masing kepada 1.12 juta tan dan 4.43 tan setiap hektar pada suku ketiga 2021 berbanding suku yang sama tahun lalu.

FGV berkata, ia berpunca daripada kekurangan pekerja asing dan penutupan operasi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, pengeluaran MSM FGV menurun sebanyak 14 peratus tahun ke tahun kepada 740,000 juta tan bagi suku yang dikaji, berikutan penurunan TBS yang diproses.

Kadar perahan minyak (OER) bagaimanapun, meningkat sedikit iaitu sebanyak 2 peratus kepada 20.74 peratus pada suku ketiga berbanding 20.35 peratus pada suku yang sama sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan prestasi kilang disumbang oleh kawalan proses yang ketat.

TBS diproses yang lebih rendah pada suku dikaji telah menyebabkan kos pemprosesan menjadi lebih tinggi dan menyumbang kepada kenaikan kos MSM ke pintu kilang sebanyak 16 peratus kepada RM1,646/tan berbanding RM1,422/tan pada suku ketiga.

Menurut FGV, faktor penggunaan (UF) menurun kepada 71 peratus pada suku yang dikaji berbanding 84 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu, iaitu penurunan sebanyak 15 peratus disebabkan penerimaan TBS yang lebih rendah dan penutupan mandatori kilang tertentu semasa PKP.

Selain itu, Sektor Gula di bawah anak syarikat tersenarai awam 51 peratus milikan FGV, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM Group) meneruskan momentum kukuhnya dengan mencatatkan lonjakan keuntungan operasi sebanyak RM36 juta bagi suku yang dikaji berbanding kerugian operasi sebanyak RM6 juta pada suku ketiga tahun lalu berikutan peningkatan purata harga jualan gula dan keuntungan pembubaran lebihan lindung nilai gula mentah.

FGV juga menyaksikan Sektor Logistiknya mencatatkan keuntungan operasi yang lebih tinggi sebanyak RM25 juta pada suku dikaji, peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding RM20 juta pada suku yang sama sebelumnya.

Ia disebabkan oleh kadar pengendalian purata yang lebih tinggi dan peningkatan dalam jumlah keseluruhan kendalian bagi sektor terbabit.

Maju ke hadapan, Mohd Nazrul berkata, meskipun isu kekurangan buruh yang berpanjangan dan gangguan operasi akibat pandemik yang terus menjejaskan produktiviti kumpulan, FGV menjangkakan keadaan akan pulih bermula dari suku kedua 2022.

"Ini berikutan pengumuman oleh kerajaan baru-baru ini untuk membawa masuk 32,000 pekerja asing ke negara ini yang akan meningkatkan liputan buruh di ladang kami yang kini hanya 70 peratus daripada jumlah keseluruhan keperluan syarikat.

"Melangkah ke hadapan, selaras dengan komitmen kami untuk menjadi syarikat sifar bersih menjelang 2050, kami sedang memulakan pelan tindakan perubahan iklim bagi keseluruhan kumpulan di seluruh operasi kami bagi menangani perubahan iklim.

"Justeru, kami telah membangunkan pelan tindakan perubahan iklim bersepadu berdasarkan enam faktor strategik utama: pengurusan risiko dan tadbir urus iklim, pengurusan karbon, kecekapan operasi, pengurusan bahan buangan, pengurusan air dan kesedaran tentang perubahan iklim," katanya.

Berita Harian X