Khamis, 25 November 2021 | 6:43pm
Ibu pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bangsar. - NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN
Ibu pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bangsar. - NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN

TNB catat untung bersih RM1.003 bilion pada suku ketiga

hazwanfaisal@mediaprima.com.my

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) merekodkan untung bersih RM1.003 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September 2021, menyusut sedikit daripada RM1.009 bilion pada suku sama tahun lalu.

Pendapatannya untuk suku dikaji bagaimanapun melonjak kepada RM12.98 bilion berbanding RM11.11 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagi prestasi sembilan bulan pertamanya untuk tahun kewangan 2021, TNB merekodkan pendapatan RM36.9 bilion, naik 9.6 peratus daripada RM33.7 bilion pada tempoh sama tahun lalu manakala untung bersihnya pula adalah sebanyak RM2.9 bilion untuk tempoh dikaji.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, berkata pihaknya merekodkan satu lagi tempoh prestasi berdaya tahan terutamanya didorong daripada aktiviti ekonomi yang bertambah baik.

Bagaimanapun katanya, pihaknya menyaksikan penguncupan sebanyak 6.7 peratus daripada jualan elektrik pada suku ketiga berbanding suku sebelumnya, kesan daripada dinamik peralihan yang disebabkan oleh wabak yang berterusan, dan akan terus bersiap sedia untuk menghadapi ketidaktentuan yang berlaku di hadapan.

"Kami melihat terdapat potensi ruang untuk pertumbuhan. Sebagai penjaga kepada infrastruktur kuasa kritikal negara, mengekalkan pulangan yang munasabah adalah penting bagi TNB untuk mengimbangi penciptaan nilai bagi pemegang saham kami dan melabur semula ke dalam sistem untuk memastikan bekalan kuasa yang boleh dipercayai dan terjamin.

"Peningkatan dalam permintaan dijangka bertambah baik pada bulan-bulan akan datang dan tahun depan apabila lebih banyak aktiviti ekonomi dibuka untuk perniagaan.

"TNB juga akan terus bekerjasama dengan kerajaan dalam pelbagai bidang untuk menyokong pemulihan ekonomi negara. Ini termasuk inisiatif kesan pengganda melalui program biasiswa kami yang berterusan, program pembangunan vendor serta program kemahiran semula yang intensif untuk melatih dan menempatkan pekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Baharin, TNB baru-baru ini telah mewujudkan Bahagian Tenaga Baharu (NED) untuk memajukan komitmen perniagaan antarabangsa kumpulan untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) syarikat dalam pasaran sasaran dan mewujudkan perkongsian strategik dengan pemain TBB terkemuka untuk memanfaatkan kepakaran teknikal mereka.

"NED pada asasnya menyelaraskan cabang pengembangan RE kami, memberikan kami tumpuan yang lebih tajam untuk mengembangkan portfolio RE kami di dalam dan di peringkat antarabangsa.

"Ini termasuk melihat peluang untuk membuat duit bagi aset dalam pasaran tidak berfokus supaya hasil boleh digunakan semula kepada aset yang mempunyai potensi penciptaan nilai yang lebih baik," katanya.

Berita Harian X