Rabu, 10 March 2021 | 7:14pm

Jualan PERODUA, TOYOTA kekal kukuh pada Februari - UMW

KUALA LUMPUR: Kumpulan UMW terus mencatatkan jumlah jualan kenderaan yang menggalakkan bagi Februari 2021 melalui UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu, PERODUA.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, permintaan yang berterusan didorong oleh insentif pengecualian cukai penjualan yang dilanjutkan hingga 30 Jun 2021 serta pelancaran model yang dikemaskini.

UMWT katanya, mencatatkan jualan sebanyak 5,074 unit pada Februari, iaitu 32 peratus lebih tinggi daripada 3,845 unit yang didaftarkan pada Januari 2021.

"Peningkatan dalam jualan kenderaan adalah hasil daripada permintaan yang tinggi bagi Vios dan Yaris yang dikemaskini yang telah dilancarkan pada 17 Disember 2020, serta Fortuner dan Innova yang juga dikemaskini yang dilancarkan pada 2 Februari.

"Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan teknologi canggih Toyota, UMWT baru-baru ini melancarkan inisiatif terbaru sebagai teras utama jenama baru yang dikenali sebagai Toyota Synergised Mobility.

"Toyota Synergised Mobility akan menonjolkan dan menampilkan teknologi canggih Toyota yang digunakan dalam produknya untuk memberikan kualiti mobiliti yang unggul," kata UMW dalam kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, PERODUA pula meraih jualan sebanyak 16,583 unit pada Februari, sedikit rendah berbanding 16,894 unit yang dijual pada Januari 2021.

"Ia disebabkan oleh bilangan hari bekerja yang lebih rendah pada bulan berkenaan termasuk cuti perayaan.

"Demi mengembangkan lagi produk untuk pelanggan, PERODUA telah melancarkan model baru Ativa, SUV kompak pada 3 Mac," katanya.

Perodua Ativa, model pertama di bawah rangka kerja Perodua Smart Build, ditawarkan dalam tiga varian dengan harga antara RM61,500 hingga RM72,000, dengan harga atas jalan tidak termasuk insurans di Semenanjung Malaysia.

Harga kompetitif Ativa adalah disebabkan oleh jumlah kadar pemasangan tempatan yang tinggi, iaitu sebanyak 95 peratus kadar kandungan pemasangan tempatan tertinggi bagi model baharu PERODUA.

"Sambutan terhadap model ini sangat memberangsangkan dengan lebih daripada 6,000 tempahan telah didaftarkan setakat 5 Mac 2021.

"Bagi memenuhi sasaran jumlah pengeluarannya untuk tahun 2021, Kumpulan akan membeli komponen automotif tempatan bernilai RM8.1 bilion pada tahun ini, yang ia akan memanfaatkan industri automotif tempatan dan juga menyumbang kepada ekonomi Malaysia," kata kenyataan itu.

Dari jumlah ini, PERODUA, katanya, akan membeli komponen bernilai rekod RM6.5 bilion dari pembekal tempatan dan akan kekal sebagai pembeli komponen automotif terbesar di Malaysia.

Berita Harian X