Rabu, 27 Januari 2021 | 1:20pm
PIBB dan KPower menawarkan pakej pembiayaan bagi pemasangan solar PV - Foto hiasan
PIBB dan KPower menawarkan pakej pembiayaan bagi pemasangan solar PV - Foto hiasan

PBank, KPower tawar pemasangan solar PV

KUALA LUMPUR: Public Islamic Bank Bhd (PIBB) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan KPower Bhd (KPower) bagi pemasangan dan pembiayaan sistem solar photovolaic (PV).

PIBB dalam satu kenyataan berkata, pakej pembiayaan itu adalah sebahagian daripada usaha kumpulan menyumbang secara positif ke arah kesejahteraan masyarakat melalui Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI).

Katanya, ia juga akan merealisasikan prinsip matlamat Syariah dalam menjana kesan positif dan lestari terhadap ekonomi, komuniti serta alam sekitar.

"Berikutan pengumuman Pemeteran Tenaga Bersih 3.0 (NEM 3.0) oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli baru-baru ini, PIBB melalui skim pembiayaan yang dilancarkan pada 11 November lalu akan terus memenuhi permintaan pelanggan bagi pembiayaan panel solar.

"Melalui MoA ini, KPower, melalui anak syarikat milik penuhnya, KPower Engineering Sdn Bhd akan menjalankan kerja pemasangan dan menyediakan keperluan teknikal yang berkaitan dengan sistem solar PV kepada pelanggan PIBB," katanya.

PIBB berkata, skim NEM menyediakan kaedah kepada pengguna eletrik untuk memasang sistem solar PV di bumbung rumah untuk penjimatan kos elektrik.

Skim itu juga, katanya, menggalakkan orang ramai untuk memainkan peranan yang aktif dalam menangani perubahan iklim yang mana tenaga bersih boleh dijana untuk kegunaan persendirian.

Mengulas lanjut, ia berkata, PIBB juga sedang meninjau peluang bagi menawarkan pembiayaan kepada sektor komersial pada masa hadapan.

"Usaha ini dijangka akan memberikan impak positif terhadap alam sekitar daripada perspektif kemapanan serta menjimatkan kos bagi syarikat yang mengambil bahagian," katanya.

Berita Harian X