Isnin, 18 Januari 2021 | 12:28pm
Geran Automasi Pintar (SAG) adalah sebahagian daripada dana bernilai RM100 juta yang diperuntukkan di bawah PENJANA
Geran Automasi Pintar (SAG) adalah sebahagian daripada dana bernilai RM100 juta yang diperuntukkan di bawah PENJANA

AmBank, MIDA tawar geran RM1 juta

KUALA LUMPUR: AmBank menawarkan geran sehingga RM1 juta kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat tahap pertengahan (MTC) menerusi Geran Automasi Pintar MIDA (SAG).

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan AmBank dalam kenyataan bersama berkata, geran berkenaan disalurkan kepada syarikat PKS dan MTC yang layak berdasarkan asas padanan atau 50 peratus daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan.

"AmBank akan melaksanakan siri latihan simulasi dan kelas khusus untuk membantu syarikat mengenal pasti masalah perniagaan serta mengutamakan penyelesaian automasi dan digitalisasi," kata kenyataan berkenaan.

Terdahulu, AmBank memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan MIDA untuk menawarkan PKS dan MTC peluang menjadi sebahagian daripada SAG.

Kerjasama antara AmBank dan MIDA adalah untuk membantu memperbaiki pengetahuan PKS dan MTC dalam perkara yang berkaitan dengan automasi dan digitalisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, berkata kerjasama antara dua entiti itu membantu syarikat berkaitan ke arah automasi dan digitalisasi dalam operasi dan proses pengeluaran.

"SAG bukan hanya dapat meningkatkan tahap daya saing dan keupayaan industri Malaysia, malah dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah selain mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor bernilai tambah tinggi.

Inisiatif SAG adalah sebahagian daripada dana bernilai RM100 juta yang diperuntukkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dilancarkan oleh Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 2 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, pula berkata syarikat perbankan itu menjadi institusi kewangan pertama bekerjasama dengan MIDA untuk menawarkan PKS dan MTC bantuan dalam persekitaran perniagaan yang mencabar ketika ini.

"Menerusi kerjasama ini, kami mampu berkongsi kepakaran dan sumber dengan syarikat berkenaan bagi membantu perniagaan masa depan mereka.

"Inisiatif ini akan menjadi sebahagian daripada program AmBank BizRACE untuk membangunkan pelanggan dalam beberapa aspek utama Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), digitalisasi dan industri halal selaras dengan agenda kelestarian AmBank," katanya.

Bagi membolehkan PKS dan MTC memohon SAG, syarikat berkenaan perlu terbabit dalam aktiviti pengeluaran atau perkhidmatan sejak 12 bulan lalu sebelum dipertimbangkan untuk memperoleh geran berkenaan.

Untuk memenuhi syarat mendapatkan insentif itu, mesin automatik, peralatan atau perisian yang dibeli melalui SAG mesti digunakan secara langsung dalam rantaian nilai syarikat bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

Penambahbaikan akan dinilai berdasarkan pelbagai kriteria seperti pengurangan pekerja tidak mahir, jam kerja, kadar kecacatan dan peningkatan jumlah pengeluaran.

PKS dan MTC yang berminat boleh mengemukakan permohonan ke pelbagai industri dan bahagian perkhidmatan di MIDA.

Berita Harian X