Selasa, 1 Disember 2020 | 2:55pm
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd, Idham Nawawi
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd, Idham Nawawi

Celcom labur RM256 juta naik taraf rangkaian

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd (Celcom) memperuntukkan pelaburan kira-kira RM256 juta untuk menaik taraf kapasiti rangkaian dan membina lebih banyak menara komunikasi 4G di seluruh negara.

Syarikat telekomunikasi itu dalam satu kenyataan berkata, pelaburan terbabit akan meningkatkan liputan dan kualiti 4G di kawasan pedalaman serta bandar.

"Pelaburan rangkaian yang dipacu oleh Celcom daripada 2020 akan disokong dengan modal pelaburan yang diperuntukkan pada tahun kewangan 2021," katanya.

Celcom berkata, bagi menyokong peningkatan permintaan, ia akan meningkatkan pelaburannya dalam rangkaian dan memperluas capaian dalam liputan 4G.

"Menjelang Februari 2021, Celcom menyasarkan sebanyak 4,700 tapak rangkaian, iaitu 49 peratus di kawasan bandar dan 51 peratus di kawasan luar bandar untuk dioptimumkan dengan naik taraf kapasiti, pemasangan peralatan 4G baharu dan program optimisasi rangkaian teras.

"Ini meliputi naik taraf dan optimisasi hampir 1,000 tapak rangkaian 4G di Sabah dan Sarawak bagi menambahbaik liputan 4G di kawasan pedalaman," katanya.

Selain itu, menurut Celcom, ia akan meneruskan lagi usaha dengan program optimisasi kluster seluruh negara bagi 3,600 tapak lagi, bagi mempertingkatkan kapasiti dan menyelesaikan masalah 'buffering' serta menyediakan kualiti panggilan suara dan video untuk pelanggan, yang dijangka selesai menjelang Ogos 2021.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi, berkata keseluruhan pengalaman rangkaian Celcom adalah antara faktor utama pelanggan memilih Celcom sebagai penyedia perkhidmatan.

"Celcom akan meneruskan usaha optimisasi liputan, kapasiti dan daya tahan rangkaiannya, melalui pelaburan yang dipacu di kawasan yang amat memerlukan, selain menggunakan teknologi akses radio terkini.

"Melalui peningkatan pelaburan rangkaian kami di kawasan yang kini amat memerlukan kesalinghubungan, kami berharap untuk memberi penambahbaikan yang signifikan dalam kualiti dan pengalaman rangkaian.

"Semua usaha penambahbaikan dan optimisasi dirancang sebaik mungkin bagi memastikan impak minimum atau tiada langsung akan dialami dalam perkhidmatan rangkaian kami," katanya.

Idham berkata, penambahbaikan itu akan memberi tumpuan kepada penyediaan liputan dalam bangunan yang lebih baik daripada tapak Menara 4G LTE, liputan 4G yang lebih meluas di kawasan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak, serta peningkatan kelajuan muat turun.

"Ini akan membolehkan lebih ramai pengguna menikmati pengalaman video berdefinisi tinggi (HD) 720p, serta kualiti panggilan suara yang lebih baik dengan Voice-over-LTE (VoLTE)," katanya.

Beliau berkata, Celcom akan terus melabur dalam peningkatan kapasiti dan liputan rangkaiannya. Kami sentiasa mengambil berat akan keperluan rakyat walaupun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Usaha Celcom sejajar dengan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh kerajaan, dalam mencapai liputan 4G di seluruh negara dan akan melabur dalam penggunaan teknologi terkini, seperti 4T4R multiple-input and multiple-output (MIMO), Carrier Aggregation, 256 Quadrature Amplitude Modulation (QAM) dan banyak lagi.

"Sehingga kini, rangkaian Celcom terus mendahului sebagai liputan paling meluas di negara ini dengan lebih 11,500 tapak seluruh negara, yang berkhidmat untuk lebih 13 juta pengguna," katanya.

Bagi suku ketiga 2020, Celcom mencatatkan pertumbuhan positif dengan peningkatan pelanggan, hasil, kos dan keuntungan pada asas suku tahunan.

Pertumbuhan dalam perniagaan dan keuntungan disokong tawaran produk baru serta prestasi jualan serta pengagihan yang kukuh, seterusnya menghasilkan peningkatan positif dalam segmen pasca bayar dan pertumbuhan dalam segmen prabayar.

Berita Harian X