Selasa, 24 November 2020 | 8:19pm

Untung bersih Syarikat Takaful susut

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd bagi suku ketiga yang berakhir 30 September 2020, susut kepada RM82.6 juta daripada RM112.34 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Pendapatan bagi suku dikaji juga susut kepada RM753.47 juta daripada RM753.51 juta sebelumnya, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi suku ketiga 2020, Syarikat Takaful berkata, keuntungan sebelum zakat dan cukai turun kepada RM97.8 juta daripada RM121.8 juta pada suku ketiga 2019.

Penurunan keuntungan itu disebabkan terutamanya pendapatan fi Wakalah bersih yang rendah susulan pengeluaran rendah daripada produk Takaful Keluarganya.

Mengenai prospek tahun semasa, kumpulan itu berkata pandemik COVID-19 dan impak ekonomi berkaitan dengannya memberikan cabaran dan ketidaktentuan kepada ekonomi Malaysia serta industri insurans dan takaful, sambil menambah ia akan terus mengambil pendekatan berhati-hati dalam menguruskan pertumbuhan perniagaan dan profil risiko portfolionya.

"Kumpulan membuat penyesuaian dengan pelbagai pasaran dan landskap operasi kerana kebimbangan terhadap jaminan pekerjaan masih tinggi dan pengguna akan lebih berhati-hati dengan perbelanjaan mereka.

"Sebagai perintis dan antara pengguna awal pengedaran dalam talian dan teknologi digital baharu dalam menyokong saluran pengedaran kami, kami dapat menangani beberapa cabaran jualan dan operasi yang dihadapi semasa tempoh pandemik COVID-19," katanya.

Bagi mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasarannya dan menyokong pertumbuhan perniagaan dan tumpuan pelanggan, kumpulan akan meneruskan strategi inovasinya menerusi pelaksanaan strategi digital, penyelesaian dalam talian dan ekosistem digital, pengembangan keupayaan pengedaran, perkongsian strategi dengan bank-bank Islam utama dan inisiatif kesedaran jenama.

-- Bernama

Berita Harian X