Khamis, 1 Oktober 2020 | 6:07pm
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin (kanan) bersama Presiden (AirAsia Digital), Aireen Omar (tiga kiri); Pengarah Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun (empat kiri); dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (lima kiri) ketika menyampaikan sijil kepada kakitangan RedBeat Academy di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Shahmi Imran
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin (kanan) bersama Presiden (AirAsia Digital), Aireen Omar (tiga kiri); Pengarah Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun (empat kiri); dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (lima kiri) ketika menyampaikan sijil kepada kakitangan RedBeat Academy di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Shahmi Imran

Redbeat Academy perkukuh perniagaan digital AirAsia

KUALA LUMPUR: AirAsia Digital dengan kerjasama Google hari ini melancarkan Redbeat Academy sejajar dengan pengembangan perniagaan digital Kumpulan AirAsia.

Presiden (AirAsia Digital) Kumpulan AirAsia, Aireen Omar, berkata pada mulanya, akademi itu ditubuhkan untuk kakitangan AirAsia (Allstars) untuk mempelajari kemahiran baharu melalui bengkel teknologi seperti kecerdasan buatan, pembelajaran mesin (MI), perisian kejuruteraan, keselamatan siber, data besar dan infrastruktur serta lain-lain.

Beliau berkata, kini Redbeat Academy dibuka kepada orang awam untuk mendapat peluang pembelajaran daripada mentor yang terdiri daripada pemain industri profesional dan menghasilkan bakat yang boleh menyelesaikan masalah dengan teknologi.

Katanya, tempoh kursus yang ditawarkan adalah selama dua bulan hingga setahun.

"Bagi mereka yang tidak mempunyai latar belakang teknologi, mereka perlu mengikuti kursus asas, yang mana mengambil masa kira-kira beberapa bulan," katanya ketika ditemui pada pelancaran Redbeat Academy oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Google Malaysia, Marc Woo.

Mengenai yuran Redbeat Academy, Aireen berkata, yuran yang dikenakan juga berpatutan, sementara aspek kurikulum akademi itu disesuaikan mengikut keperluan pasaran.

Beliau berkata, kelas pengajian ditawarkan secara dalam talian dan fizikal.

Namun begitu, terdapat juga kelas pengajian yang perlu dikendalikan oleh jurulatih kerana sukar diajar secara dalam talian, katanya.

Redbeat Academy akan memberi tumpuan dalam lima segmen, iaitu AirAsia Allstars, badan korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agensi kerajaan, universiti dan orang awam dengan sekurang-kurangnya 100,000 bakat yang akan dimanfaatkan pada setiap tahun untuk memberikan penyelesaian dalam tiga bidang utama: Program Pembangunan Kemahiran, Makmal Betabuild - program yang ditawarkan oleh AirAsia dengan sokongan Google untuk membantu perusahaan menceburi Perniagaan Digital Baharu - serta Kakitangan, Perkhidmatan Kerjaya dan Pengambilan Kakitangan.

Selain itu, Redbeat Academy juga mengumumkan kerjasama dengan Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) untuk membangunkan semula bakat dalam projek Kejuruteraan Perisian dan Teknologi Tinggi (seperti blockchain dan data) dan Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya dan Asia School of Business yang bekerjasama dengan MIT Sloan Management, untuk memberikan pengesahan pembelajaran (micro-credential) bagi kursus Redbeat Academy dan memperakuinya sebagai sebahagian daripada Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Terdahulu (APEL).

Pada pelancaran itu, akademi itu juga meraikan kumpulan graduan pertama yang terdiri daripada 135 AirAsia Allstars, yang telah lulus dalam kursus Digital Fundamentals mereka daripada Program Reskilling & Upskilling yang telah dijalankan secara dalaman dan akan meneruskan karier mereka di dalam bidang teknologi masing-masing.

Berita Harian X