Khamis, 1 Oktober 2020 | 5:52pm
FGV Holdings Bhd - Foto hiasan
FGV Holdings Bhd - Foto hiasan

Sekatan AS tak jejas prestasi, operasi FGV

KUALA LUMPUR: Sekatan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) ke atas minyak sawit dan produk FGV Holdings Bhd (FGV) dilihat tidak memberi kesan besar ke atas prestasi kewangan dan operasi syarikat itu.

Penganalisis MIDF Research, Khoo Zhen Ye, berkata langkah CBP mengarahkan penerbitan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) tidak memberi impak meluas memandangkan pasaran AS dan Kanada hanya menyumbang sekitar lima peratus ke atas pendapatan FGV.

"FGV boleh mengalihkan eksport produknya dari AS ke negara pengguna minyak sawit lain menerusi rangkaian pelanggannya yang luas dan permintaan berterusan produk berasaskan sawit atau menggunakan sepenuhnya sumber yang ada untuk memperkemaskan segmen hiliran syarikat.

"Dalam tempoh terdekat, saya melihat sekatan CBP ini akan mempengaruhi sentimen pelabur ke atas saham FGV," katanya ketika dihubungi BH.

Zhen Ye berkata, kesan minimum turut dijangka jika sekatan CBP dikenakan ke atas syarikat berkaitan perladangan lain kerana eksport keseluruhan minyak sawit Malaysia ke AS hanya sekitar 3.5 peratus.

"Justeru, kami mengekalkan saranan 'Neutral' ke atas saham FGV dengan harga sasaran RM1.22 sesaham," katanya.

Sementara itu, Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang, berkata langkah CBP dibimbangi diikuti oleh negara lain dengan menilai semula eksport sawit dari FGV berikutan wujudnya kebimbangan mengenai amalan tadbir urus korporat, sosial dan alam sekitar syarikat berkenaan.

"Saya berpandangan tindakan CBP akan menyekat akses pasaran eksport minyak sawit FGV yang turut membabitkan perniagaan oleokimia.

"Hakikatnya, sumbangan eksport minyak sawit FGV ke AS tidaklah besar iaitu pada 1.49 juta tan tahun lalu. Namun, perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya kerana ia boleh menyebabkan negara lain turut mengambil pendekatan sama," katanya.

Dagangan saham FGV, yang terbabit dalam sektor peladangan terjejas selepas CBP mengeluarkan kenyataan menahan minyak sawit dan produk komoditi keluaran syarikat itu, anak syarikatnya dan sebarang usaha sama dengannya di semua pintu masuk negara itu.

Semasa dagangan di Bursa Malaysia ditutup hari ini, saham FGV menyusut 10 sen, atau 8.70 peratus kepada RM1.05 sesaham berbanding semasa dibuka pada RM1.15, dengan 47.08 juta saham bertukar tangan.

Saham syarikat itu berlegar antara RM1.04 hingga RM1.13 sesaham sepanjang dagangan hari ini.

Berita Harian X