Selasa, 22 September 2020 | 6:29pm
Presiden dan Ketua Eksekutif Mercedes Benz Malaysia (MBM), Dr. Claus Weidner (kiri) dan Timbalan Presiden Jualan dan Pemasarannya, Michael Jopp pada majlis pelancaran Mercedes Benz GLB 250 di Puchong, Selangor. - Foto: NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Presiden dan Ketua Eksekutif Mercedes Benz Malaysia (MBM), Dr. Claus Weidner (kiri) dan Timbalan Presiden Jualan dan Pemasarannya, Michael Jopp pada majlis pelancaran Mercedes Benz GLB 250 di Puchong, Selangor. - Foto: NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Pengecualian cukai jualan pacu jualan Mercedes-Benz

PUCHONG: Jualan Mercedes-Benz Malaysia (MBM) bagi tempoh tiga bulan lalu mencatat pemulihan kukuh, lebih baik berbanding tempoh sebelum penularan COVID-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Claus Weidner, berkata permintaan kukuh bagi kenderaan keluaran MBM bagi tempoh Jun hingga Ogos 2020 turut dipacu pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan.

"Kami menerima permintaan kukuh bagi semua model keluaran Mercedes-Benz. MBM melihat sentimen pengguna juga menunjukkan pemulihan ketara pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Langkah proaktif yang diambil kami termasuk menawarkan promosi bagi setiap model juga mendorong minat pelanggan seterusnya mengukuhkan permintaan dan jualan MBM," katanya kepada media selepas pelancaran barisan model Mercedes-Benz dan AMG GLB di sini, hari ini.

Weidner berkata, MBM turut mengharapkan momentum permintaan dan jualan yang dicatatkan tiga bulan lalu akan berterusan hingga ke akhir tahun.

Katanya, pengukuhan berterusan itu bagaimanapun bergantung kepada persekitaran ekonomi Malaysia dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

"Pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan memberi impak positif kepada jualan kenderaan termasuk Mercedes-Benz. Saya boleh katakan permintaan sangat kukuh dan harap ia kekal sehingga hujung tahun," katanya.

Sementara itu, MBM melengkapkan penawaran barisan portfolio kenderaan utiliti sukan (SUV) apabila memperkenalkan model kelapannya, GLB serba baharu ke pasaran tempatan.

Mercedes-benz ditawarkan dengan tiga varian iaitu GLB 200 Progressive Line, GLB 250 4MATIC AMG Line dan Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC.

Bagi GLB 200 Progressive Line, model yang dilengkapi enjin 1.3 liter pengecas turbo 4-silinder digabungkan dengan transmisi 7G-DCT 7-kelajuan automatik ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM269,118.15.

Dengan enjin bersaiz lebih kecil, trenkuasa yang dimiliki GLB 200 Progressive Line mampu menghambur 120 kilowatt (kW) atau 163 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum 250 Nm.

Ia mampu memecut dari kedudukan pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 9.1 saat dan kelajuan puncak boleh mencecah 207 km/j.

Bagi varian kedua iaitu GLB 250 4MATIC AMG Line, ia ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM318,009.26.

Dijana enjin 2.0 liter pengecas turbo 4-silinder dengan transmisi 8G-DCT 8-kelajuan automatik, ia mampu memacu 165 kW (224 hp) dan tork maksimum 350 Nm.

Dengan kelajuan maksimum 236 km/j, varian ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

Mercedes-Benz GLB 250 AMG Line turut dilengkapi sistem pacuan semua roda kekal 4MATIC dengan penyaluran tork berubah sepenuhnya.

Varian terakhir diperkenalkan pastinya paling berkuasa iaitu Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC yang dikuasakan oleh enjin peng

ecas turbo AMG 2.0 liter 4-silinder, ia mampu menjana kuasa 225 kW (306 hp), sekali gus menjanjikan pemanduan yang menakjubkan.

Trenkuasa digabungkan dengan transmisi AMG SPEEDSHIFT 8G-DCT 8-kelajuan automatik dan AMG Performance 4MATIC pacuan semua roda itu mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat dan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.

Barisan varian GLB boleh didapati di semua pusat pengedaran Mercedes-Benz.

Berita Harian X