Jumaat, 18 September 2020 | 12:34pm
Top Glove Corporation Bhd - Foto fail NSTP
Top Glove Corporation Bhd - Foto fail NSTP

Pendapatan Top Glove dijangka cecah RM9.46 bilion

KUALA LUMPUR: Pendapatan Top Glove Corporation Bhd diunjurkan meningkat 156 peratus kepada RM9.46 pada 2021, dengan mengandaikan sarung tangan akan mencapai harga jualan purata (ASP) AS$49 sehingga AS$61 setiap 1,000 keping.

Penganalisis RHB Investment Bank, Alan Lim, berkata pendapatan Top Glove bagi 2022 pula diunjurkan meningkat 84 peratus kepada RM7.26 bilion.

Beliau bagaimanapun berkata, RHB Investment mengekalkan jangkaan pendapatan Top Glove untuk tahun kewangan 2023 sebanyak RM4.49 bilion berdasarkan kepada andaian ASP jangka panjang yang tidak berubah pada AS$37.00 setiap 1,000 keping.

"Kami percaya ASP jangka panjang sepatutnya telah berada pada paras pulang modal yang mana pada ketika itu, pendatang baharu yang kurang cekap seharusnya beroperasi.

"Kami turut menjangkakan pendapatan akan meyaksikan lonjakan besar pada tahun kewangan 2021 tetapi merosot pada tahun kewangan 2022 dan 2023.

"Pertumbuhan pendapatan akan dapat dilihat semula mulai tahun kewangan 2024 ekoran pertumbuhan jumlah dengan ASP yang tidak berubah," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Keuntungan bersih Top Glove melonjak 417 peratus tahun ke tahun dalam tahun kewangan 2020 kepada RM1.86 bilion, sementara perolehan meningkat kepada RM7.23 bilion daripada RM4.8 bilion pada tahun kewangan 2019.

Ia dirangsang oleh peningkatan ketara sarung tangan getah di celah-celah pandemik COVID-19.

Untuk suku keempat 2020, keuntungan bersih ialah RM1.29 bilion berbanding RM74.16 juta suku yang sama 2019, manakala perolehan berjumlah RM3.1 bilion daripada RM1.18 bilion sebelumnya.

Sementara itu, MIDF Research berkata, campuran produk pengeluar sarung tangan getah itu telah membolehkannya memenuhi keperluan berbeza daripada pelbagai pelanggannya.

Ia menambah, berikutan bekalan nitrile butadiene (NBR) yang terhad dan mengambil masa panjang untuk mendapatkan sarung tangan nitril, beberapa pengguna mengambil keputusan untuk beralih kepada sarung tangan getah asli bebas serbuk dan sarung tangan 'thermoplastic extruded' (TPE).

Diskaun antara sarung tangan getah asli dan nitril dijangka mengecil dalam bergerak ke hadapan sekiranya pengguna terus memilih untuk membeli sarung tangan getah asli.

"Sebaliknya pula, harga getah asli tetap stabil. Segmen sarung tangan vinil, terutama untuk pasaran China, turut menyaksikan peningkatan besar dalam ASP.

"Aktiviti pengeluaran berjalan lancar di kilang Vietnamnya, dengan talian pengeluaran baharu menghasilkan setiap bulan," katanya.

MIDF juga percaya kehadiran geografi Top Glove yang meluas membolehkannya menjual ke pelbagai pasaran kerana jumlah kes aktif di seluruh dunia mungkin mengalami desakan berbeza dari segi permintaan.

Sementara itu, berikutan tinjauan yang amat optimis ini, kedua-dua RHB Investment dan MIDF telah memberikan saranan 'beli' untuk Top Glove.

Meskipun membuat saranan sedemikian, RHB Investment berkata ia merendahkan harga sasarannya untuk Top Glove kepada RM9.50 kerana pertumbuhan terminal jangka panjang telah dikurangkan kepada satu peratus daripada tiga peratus sebelumnya.

-BERNAMA

Berita Harian X