Khamis, 17 September 2020 | 6:38pm
Salah sebuah kilang sarung tangan getah milik Top Glove di Setia Alam, Selangor, Malaysia.
Salah sebuah kilang sarung tangan getah milik Top Glove di Setia Alam, Selangor, Malaysia.

COVID-19: Untung Top Glove suku keempat melonjak lebih 1,500 peratus

KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd mencatat keuntungan luar biasa pada suku keempat berakhir Ogos dengan peningkatan lebih 1,500 peratus kepada RM1.33 bilion berbanding RM74.01 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Ia didorong pertambahan tinggi permintaan sarung tangan getah global ekoran penularan COVID-19, sekali gus menjadikannya sebagai syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia yang mencatatkan peratusan keuntungan tertinggi di tengah-tengah persekitaran semasa yang amat mencabar.

Keputusan dalam tempoh dikaji juga memperlihatkan pendapatannya meningkat 161.5 peratus kepada RM3.11 bilion berbanding RM1.19 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya, dipacu permintaan kukuh global terhadap penggunaan sarung tangan.

Prestasi luar biasa pada suku keempat itu menjadikan prestasi keseluruhan tahun kewangan Top Glove yang berakhir 30 Ogos 2020 sangat cemerlang dengan keuntungannya melonjak 417 peratus kepada RM1.9 bilion berbanding RM367.5 juta pada tahun sebelumnya.

Pendapatannya dalam tahun kewangan dikaji mencatatkan paras rekod baharu sebanyak RM7.24 bilion, meningkat 51 peratus berbanding RM4.80 bilion pada tahun sebelumnya.

Berikutan keputusan kewangan cemerlang itu, Lembaga Pengarah Top Glove mengumumkan dividen akhir 8.5 sen sesaham, sekali gus menjadikan dividen bagi keseluruhan tahun kewangan 2020 kepada 11.8 sen, meningkat 9.3 sen atau 373 peratus berbanding tahun kewangan 2019.

Top Glove berkata, pertumbuhan permintaan sangat tinggi terutama di Asia, Eropah Barat dan Eropah Timur yang masing-masing meningkat sebanyak 110 peratus, 73 peratus dan 64 peratus pada suku keempat lalu.

Ia berkata, permintaan paling tinggi ialah untuk sarung tangan nitril yang meningkat sebanyak 31 peratus, sementara sarung tangan getah asli mencatatkan pertumbuhan tujuh peratus.

Permintaan yang tinggi itu menjadikan purata harga jualan (ASP) juga meningkat, katanya.

Ia juga dicerminkan oleh harga saham Top Glove yang mana mencatat paras terendah tahun ini iaitu RM1.52 pada 10 Januari, melonjak RM8.24 atau 542 peratus ke paras tertinggi RM9.76 pada 7 Ogos lalu. Ia ditutup pada RM7.79 semalam ekoran aktiviti pengambilan untung.

Peningkatan harga sahamnya juga menjadikan Top Glove muncul sebagai saham kedua terbesar di Bursa Malaysia, dari segi permodalan pasaran, mengatasi Tenaga Nasional dan beberapa syarikat telekomunikasi utama.

Mengulas mengenai prestasi mengagumkan itu, Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr Lim Wee Chai, berkata syarikat sangat gembira dapat mencatatkan keputusan yang kukuh, sekali gus berada dalam kedudukan utuh untuk membantu menyelamatkan serta melindungi rakyat Malaysia dan dunia dalam waktu yang kritikal ini.

Beliau berkata, prestasi yang tidak pernah dicatatkan sebelum ini itu menandakan keberkesanan inisiatif kemajuan dipacu teknologi yang berterusan, yang bertumpu dalam kualiti dan kecekapan kos, yang membolehkan pihaknya memenuhi peningkatan dalam permintaan sarung tangan.

"Kami juga menghargai pencapaian yang memberangsangkan ini kepada 21,000 pekerja, yang terus melakukan terbaik untuk memastikan pengeluaran dan penghantaran sarung tangan tanpa gangguan, walaupun banyak cabaran operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya dalam satu kenyataan.

Top Glove akan terus meningkatkan kapasitinya bagi memastikan ia mampu memenuhi permintaan sarung tangan global, yang dijangka berkembang dari paras pra-COVID-19 sekitar kira-kira 10 peratus setahun kepada kira-kira 15 peratus setahun bagi pasca COVID-19.

Ia berkata, kilang pertamanya di Vietnam, F41 dijangka beroperasi pada Oktober 2020, dengan kapasiti pengeluaran permulaan kira-kira 2.4 bilion sarung tangan daripada 10 barisan pengeluarannya.

Top Glove juga memperuntukkan RM8 bilion bagi perbelanjaan modal (Capex) untuk enam tahun akan datang dari tahun kewangan 2021 hingga tahun kewangan 2026, yang menyediakannya kapasiti tambahan 100 bilion sarung tangan.

Ia berkata, Capex itu akan dilabur dalam kapasiti baharu, meningkatkan kemudahan pengeluaran sedia ada, kilang pensterilan gamma, tanah simpanan untuk pengembangan masa depan, pendigitalan dan kemajuan Industri 4.0 kepada kemudahan pekerjanya.

Berita Harian X