Khamis, 17 September 2020 | 11:17am
SilTerra Malaysia Sdn Bhd
SilTerra Malaysia Sdn Bhd

SilTerra perlu kekal jadi syarikat milik Malaysia

KUALA LUMPUR: SilTerra Malaysia Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Bhd perlu kekal menjadi milik Malaysia untuk menjadikan negara ini terus relevan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), kata sumber industri.

Baru-baru ini, Khazanah dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menjual SilTerra kepada Foxconn Technology Group, sebuah multinasional elektronik Taiwan pada harga AS$125 juta (RM515 juta), yang menjana hasil tunai tertinggi kepada sayap pelaburan kerajaan Malaysia itu berbanding pembida lain antaranya X-FAB yang berpangkalan di Jerman, Dagang NeXchange Bhd (DNeX) serta Green Packet Bhd (GPacket).

Khazanah dikatakan membenarkan dua firma global, iaitu Foxconn dan X-FAB menyertai bidaan bagi SilTerra dalam usaha mendapatkan nilai yang lebih baik untuk syarikat Malaysia itu.

Sumber industri berkata, penjualan SilTerra kepada syarikat luar negara akan membangkitkan beberapa persoalan, antaranya berhubung masa depan pembangunan industri semikonduktor berteknologi tinggi di negara ini.

"Penjualan SilTerra kepada syarikat asing bermakna Malaysia secara efektif akan keluar daripada industri semikonduktor, ketika negara lain bersaing sesama sendiri untuk memasukinya memandangkan dunia menjadi semakin bergantung kepada pendigitalan, di samping kemunculan Internet untuk Semua Benda (IoT).

"Walaupun SilTerra ketika ini belum menyumbang kepada pembangunan mana-mana ekosistem di Malaysia di sebalik penggunaan cip pintar dalam kehidupan kita sehari-hari, penjualannya kepada syarikat asing akan 'membunuh' peluang untuk negara ini membangunkan ekosistem berteknologi tinggi," katanya kepada BH.

Foxconn dijangka menjadi pembida pilihan Khazanah disebabkan jumlah pembayaran tunai yang menarik sebanyak AS$125 juta.

Walaupun firma itu ketika ini adalah penyedia terbesar perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) bagi mengeluarkan produk elektronik kepada syarikat utama China, Amerika Syarikat (AS), Finldan serta Jepun, ia hanyalah sebuah pengeluar kontrak.

Foxconn tidak memiliki atau mempunyai pengalaman mengendalikan kemudahan peleburan seperti SilTerra.

Sumber industri berkata, Foxconn berkemungkinan akan memindahkan SilTerra kepada syarikat lain bagi mengendalikan kemudahan berkenaan.

Sementara itu, bidaan yang dikemukakan oleh konsortium GPacket dan DNeX bukan hanya membawa bersama syarikat dana, malah disertai oleh syarikat pelabur yang masing-masing adalah peserta dalam rantaian nilai industri.

GPacket mengemukakan bidaan mantap dengan 55 peratus kepentingan dimiliki oleh syarikat itu, manakala 45 peratus lagi dimiliki oleh rakan konsortiumnya, Dongfang Huijia Zhuhai Asset Management Co Ltd yang juga sebuah syarikat milik sepenuhnya China Orient Asset Management Co Ltd.

Ia mengemukakan bidaan tunai RM235 juta dan akan menyerap hutang sebanyak RM210 juta.

Sementara itu, bidaan dikemukakan DNeX dan rakan strategiknya, Beijing CGP Investment Co Ltd (CGP) dilaporkan amat komprehensif dengan rancangan pemulihan SilTerra membabitkan pelaburan sebanyak RM846 juta.

Daripada jumlah itu, RM136 juta adalah dalam bentuk bayaran tunai untuk Khazanah, RM210 juta untuk menyerap pinjaman bank SilTerra dan tambahan RM500 juta lagi bagi tujuan perbelanjaan modal serta perbelanjaan operasi.

Sumber industri berkata, DNeX sudah meninjau SilTerra sejak pertengahan 2018 dan melakukan kajian komprehensif mengenai teknologi, operasi dan perniagaan syarikat milik Khazanah itu.

Berita Harian X