Isnin, 24 Ogos 2020 | 8:49pm
Gambar fail, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Berhad, Datuk Sazali Hamzah. - Foto Salhani Ibrahim
Gambar fail, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Berhad, Datuk Sazali Hamzah. - Foto Salhani Ibrahim

Petronas Chemicals, LG Chem bina kilang lateks nitril

KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) dan LG Chem Ltd telah memeterai satu perjanjian bagi pembinaan kilang pengeluaran lateks nitril butadiena (NBL) di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor.

Menurut PCG, kilang itu menyasarkan pasaran sarung tangan nitril yang semakin pesat berkembang dan seterusnya dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pengeksport terbesar sarung tangan berkenaan di peringkat global.

"Pembinaan kilang akan bermula pada 2021 manakala pengeluarannya dijadual dapat dimulakan pada 2023. Apabila siap kelak, ia akan mempunyai kapasiti pengeluaran NBL sebanyak 200,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG Datuk Sazali Hamzah berkata kerjasama itu menandakan satu langkah strategik bagi membangunkan portfolio kimia khusus kumpulan itu dan memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pengeluar bahan kimia bersepadu di Malaysia.

"Ia menyediakan peluang bagi memasuki produk berasaskan NBL yang berkembang serta membolehkan PCG meningkatkan kehadirannya dalam pasaran akhir yang menarik, khususnya bagi penjagaan peribadi dan kesihatan terutama di rantau Asia Pasifik," katanya.

PCG juga dalam proses beralih kepada segmen yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi dengan tumpuan kepada lebih banyak bahan kimia khusus dalam portfolio syarikat, katanya.

NBL adalah getah sintetik yang menggunakan butadiena sebagai bahan utama serta menjadi teras pembuatan bahan mentah dalam penghasilan sarung tangan nitril yang banyak digunakan dalam industri termasuk penjagaan kesihatan, perubatan dan makanan selain melengkapi sarung tangan getah asli berikutan intensitinya yang amat baik serta ciri-ciri rintangan kimia.

Penggunaan sarung tangan nitril juga mencatat pertumbuhan amat ketara sejak akhir-akhir ini berikutan pandemik COVID-19 dengan peningkatan permintaan purata tahunannya melebihi 10 peratus dan dijangka menyumbang 70 peratus daripada seluruh pasaran sarung tangan lateks pada 2024. - BERNAMA

Berita Harian X