X
Khamis, 16 Julai 2020 | 3:48pm
Seorang pekerja memantau pengeluaran sarung tangan getah di kilang Top Glove - Foto Bloomberg
Seorang pekerja memantau pengeluaran sarung tangan getah di kilang Top Glove - Foto Bloomberg

AS sekat masuk produk Top Glove

KUALA LUMPUR: Dua anak syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) berdepan larangan eksport produknya ke Amerika Syarikat (AS) kerana dikatakan menggunakan khidmat buruh paksa.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) dalam laman web rasminya meletakkan dua anak syarikat Top Glove iaitu Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd dalam senarai perintah penahanan berkenaan.

Bagaimanapun, laman web CBP hanya menyenaraikan Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd tanpa menjelaskan secara terperinci bentuk tindakan yang diambil.

Tindakan CBP itu dibuat ketika permintaan tinggi terhadap sarung tangan perubatan dan perlindungan peribadi susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia termasuk AS.

Top Glove dalam satu kenyataan mengesahkan isu perintah penahanan terhadap produknya oleh CBP.

Syarikat itu berkata, pihaknya sudah menghubungi CBP menerusi pejabatnya di AS bagi memahami isu berkenaan dengan lebih baik dan berharap dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

"Kami berusaha untuk menyelesaikan perkara ini dengan cepat, dalam tempoh jangkaan dua minggu," katanya.

Menurut kenyataan Top Glove, terdapat kemungkinan perkara itu berkaitan dengan buruh asing di mana isu berkenaan sudah selesai, kecuali satu isu berkaitan pembayaran balik bayaran pengambilan oleh pekerjanya kepada ejen sebelum Januari tahun lalu, yang mana ia berlaku tanpa pengetahuan pengeluar sarung tangan getah itu.

Bagaimanapun, Top Glove menegaskan, ia sudah menjelaskan semua fi pengambilan berkenaan ketika Dasar Yuran Pengambilan Sifar dilaksanakan.

Katanya, sejak beberapa bulan lalu, ia berusaha menangani masalah berkenaan termasuk membabitkan pengesanan mendalam bagi memastikan jumlah yang tepat perlu dibayar semula kepada pekerja bagi pihak ejen sebelum ini.

"Kami menganggarkan jumlahnya sekitar RM20 juta hingga RM50 juta.

"Kami percaya langkah terbaik adalah mencari jalan penyelesaian pantas agar sarung tangan getah kami dapat disalurkan kepada kepada pihak yang memerlukan ketika tempoh mencabar akibat COVID-19.

"Sebarang perkembangan terbaharu akan dimaklumkan," katanya.

Pada September 2019, CBP turut meletakkan WRP Asia Pacific Sdn Bhd dalam senarai penahanan sama.

Namun, CBP membatalkan perintah berkenaan berkuatkuasa 23 Mac lalu, sekali gus membolehkan sarung tangan getah yang diimport oleh WRP Asia Pacific diterima di semua pintu masuk AS.

Menurut laman web CBP, di bawah Sekyen 307 Akta Tarif 1930 (19 U.S.C. § 1307), barang yang dihasilkan, secara keseluruhan atau sebahagian oleh buruh paksa termasuk pekerja tahanan, buruh paksa kanak-kanak dan buruh terikat tidak dapat diimport masuk ke AS.

Saham Top Glove susut 56 sen atau 2.57 peratus kepada RM21.24 semasa Bursa Malaysia digantung pada jam 3.30 petang.

Berita Harian X