Isnin, 13 Julai 2020 | 3:44pm
Top Glove mempunyai kapasiti membuat 78.7 bilion sarung tangan getah setahun - Foto hiasan
Top Glove mempunyai kapasiti membuat 78.7 bilion sarung tangan getah setahun - Foto hiasan

Top Glove bina dua kilang setahun tampung permintaan

KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd, pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia akan membina dua kilang setiap tahun untuk menampung permintaan global.

Rancangan itu di tengah-tengah peningkatan penggunaannya dalam industri perubatan selain kesedaran kebersihan dalam kalangan orang ramai susulan pandemik COVID-19.

Pengerusinya, Tan Sri Lim Wee Chai, berkata ia kini mempunyai 45 kilang, yang mana 34 adalah kilang sarung tangan getah dengan 700 barisan pengeluaran dengan kapasiti membuat 78.7 bilion sarung tangan getah setahun.

Bakinya adalah kilang lateks, tiga kilang bahan kimia, satu kilang acuan sarung tangan, dua kilang pembungkusan, satu kilang pelapik gigi, satu kilang kondom dan satu kilang topeng muka.

Daripada 45 kilang itu, 40 terletak di Malaysia, empat di Thailand dan satu di China.

Satu kilang baharu sedang ditubuhkan di Vietnam, yang dijangka beroperasi September ini.

"Kami akan terus membina dua kilang setiap tahun untuk memastikan berada dalam kedudukan yang baik untuk menampung peningkatan permintaan sarung tangan global," katanya kepada Bernama dalam satu temubual eksklusif.

Beliau berkata, Top Glove juga terbuka kepada penggabungan dan pengambilalihan, usaha sama serta peluang mempelbagaikan perniagaan.

"Kami berkembang ketika masa senang dan bersedia untuk masa sukar. Industri sarung tangan adalah satu perniagaan antaabangsa dan ada persaingan.

"Kelangsungan dalam perniagaan adalah seperti menyertai Olimpik, anda perlu kekal cergas untuk bersaing atau anda akan ditinggalkan," katanya.

Dari segi permintaan, Wee Chai berkata, permintaan sarung tangan sebelum COVID-19 adalah antara lapan hingga 10 peratus setahun, dipacu oleh asas pasaran yang kukuh merentasi geografi.

Bagi 2020, Top Glove mengunjurkan pertumbuhan 25 peratus.

"Sebelum COVID-19 kami beroperasi pada kira-kira 85 peratus kapasiti. Kini, kami beroperasi hampir kepada 100 peratus," katanya.

Negara-negara di seluruh dunia kini memerlukan lebih banyak sarung tangan berbanding sebelum pandemik, justeru, perancangan dan peruntungan sewajarnya adalah menjadi keutamaan.

Sebagai contoh, beliau berkata, pelanggan mendapatkan 10 peratus tambahan sarung tangan untuk memastikan bekalan berterusan yang diminta bagi memastikan produk terbabit ada di setiap negara.

Walaupun syarikat turut menjual kepada pelanggan baharu, ia akan ditawarkan pada harga spot, yang kebiasaannya adalah lebih tinggi berbanding harga biasa.

"Pada 2021 dan pasca COVID-19, industri sarung tangan getah dijangka mencatatkan pertumbuhan tahunan antara 12 dan 15 peratus berikutan meningkatnya penggunaan dalam sektor perubatan serta bukan perubatan, selain bertambahnya kesedaran kebersihan daripada pandemik," katanya.

Ketika ini, 20 peratus populasi dunia, khususnya dari Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merangkumi 70 peratus daripada penggunaan sarung tangan.

Manakala, 80 peratus lagi hanya menggunakan 30 peratus sarung tangan yang dikeluarkan seluruh dunia, yang bermakna masih ada peluang besar, kata Wee Chai.

Beliau menegaskan, sarung tangan adalah barangan asas dalam sektor penjagaan kesihatan, berfungsi sebagai pelindung untuk kakitangan perubatan, dengan permintaan yang meningkat di pasaran sedang membangun disebabkan kesedaran mengenai kebersihan bertambah.

Justeru, permintaan sarung tangan dijangka berkembang di negara sedang membangun di mana penggunannya adalah rendah selain di negara maju, di mana penggunaan sarung tangan diperluaskan melangkaui penjagaan kesihatan ke sektor lain seperti makanan dan minuman.

Menuju ke hadapan, Wee Chai berkata, Top Glove kekal dalam landasan untuk mencapai cita-citanya menjadi syarikat Fortune Global 500 menjelang 2040 dengan menguasai pasaran sarung tangan antarabangsa yang lebih besar.

"Kami berbangga menjadi pengeluar sarung tangan nitril terbesar dunia, selain sarung tangan getah asli dan sarung tangan pembedahan," katanya.

Untuk berada dalam senarai Fortune 500, beliau berkata Top Glove perlu berkembang 30 kali ganda untuk mencapai pendapatan jualan RM150 bilion.

Katanya, Top Glove akan melabur lebih banyak dalam teknologi, pembangunan dan penyelidikan (R&D), selain kepintaran buatan dan insan dalam usahanya mencapai sasaran itu.

Berita Harian X