Isnin, 29 Jun 2020 | 4:34pm

Untung bersih UOA Development naik lebih sekali ganda

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih UOA Development Bhd meningkat lebih sekali ganda kepada RM124.22 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2020, berbanding RM59.86 juta tahun sebelumnya.

Perolehan meningkat kepada RM375.27 juta daripada RM244.67 juta sebelumnya, kata kumpulan pembangunan dan pembinaan hartanah itu.

Prestasi baik itu disumbang terutama daripada pengiktirafan progresif projek pembangunan kumpulan yang sedang dibangunkan iaitu United Point Residence di Kepong dan Apartment South Link Lifestyle di Bangsar South.

"Hasil dan keuntungan tinggi itu kebanyakannya disumbang daripada United Point Residence yang disiapkan semasa suku semasa (Suku Pertama)," kata syarikat itu.

Pada masa depan, ia berkata jumlah jualan hartanah baharu kumpulan bagi tahun ini sehingga 31 Mac ialah kira-kira RM114.76 juta dengan jualan belum dibil bernilai RM640.9 juta.

"Kumpulan akan mengekalkan tumpuannya kepada pembangunan di Greater Kuala Lumpur di samping terus mendapatkan tanah pembangunan strategik yang memenuhi objektif kumpulan," kata UOA Development. - BERNAMA

Berita Harian X