Jumaat, 22 Mei 2020 | 6:31pm

Untung bersih PETRONAS susut 68 peratus kepada RM4.5 bilion

KUALA LUMPUR: PETRONAS mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM4.5 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2020, susut 68 peratus berbanding RM14.2 bilion pada suku sama 2019.

Keputusan kewangan itu dicatat di tengah-tengah persekitaran mencabar dan harga minyak yang rendah.

Pendapatan syarikat minyak dan gas nasional itu juga berkurangan empat peratus kepada RM59.6 bilion berbanding RM62.0 bilion berikutan impak purata harga realisasi yang lebih rendah untuk gas asli cecair (LNG), produk petroleum dan minyak mentah serta

kondensat.

Pengurangan pendapatan itu juga sebahagiannya diimbangi oleh kesan jumlah penjualan yang lebih tinggi terutamanya untuk produk petroleum serta kesan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata pihaknya menjangkakan tinjauan yang sangat mencabar bagi baki 2020, dengan aktiviti ekonomi dijangka hanya pulih beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini.

Beliau berkata, peserta industri termasuk PETRONAS, akan terkesan jika situasi pasaran semasa berterusan dan harga minyak kekal rendah.

Katanya, dengan latar belakang yang mencabar, fokus PETRONAS adalah untuk melindungi tunai dan mengekalkan kecairannya, meneruskan usaha penjimatan kos dan bertindak balas terhadap perubahan keadaan pasaran dengan pantas.

"Kami juga akan terus memelihara kesihatan dan keselamatan pekerja kami dan komuniti yang mana kami beroperasi serta menyumbang ke arah usaha membendung wabak global.

"Dalam jangka masa panjang, kami tetap komited pada strategi pertumbuhan serampang tiga mata kami untuk memaksimumkan penjanaan tunai, mengembangkan perniagaan teras, dan menjadi organisasi kalis masa depan dan memastikan kemampanan jangka panjang PETRONAS," katanya dalam satu kenyataan.

Aliran tunai syarikat minyak dan gas nasional itu daripada aktiviti operasi pada suku pertama 2020 merosot sebanyak 24 peratus berbanding suku sama 2019.

Jumlah aset meningkat kepada RM630.0 bilion pada 31 Mac 2020, berbanding RM622.4 bilion yang dicatatkan pada 31 Disember 2019, terutamanya berikutan perbelanjaan modal yang lebih tinggi dan kesan kelemahan ringgit berbanding dolar AS.

Nisbah gearan meningkat sedikit kepada 19.9 peratus setakat 31 Mac 2020 berbanding 19.4 peratus setakat 31 Disember 2019 berikutan pinjaman yang tinggi susulan impak kelemahan ringgit berbanding dolar AS.

Pelaburan modal kumpulan pada suku pertama 2020 berjumlah RM8.5 bilion terutamanya untuk projek huluan.

Berita Harian X