Jumaat, 22 Mei 2020 | 6:18pm
KUALA LUMPUR 18 APRIL 2016. CIMB Group Chairman, Datuk Seri Nazir Razak during 59th Annual General Meeting CIMB Group Holdings Berhad press conference at Sime Darby Convention Centre. NSTP/ HAFIZ SOHAIMI
KUALA LUMPUR 18 APRIL 2016. CIMB Group Chairman, Datuk Seri Nazir Razak during 59th Annual General Meeting CIMB Group Holdings Berhad press conference at Sime Darby Convention Centre. NSTP/ HAFIZ SOHAIMI

CIMB Group catat untung suku pertama RM714 juta

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM714 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2020.

Keuntungan lebih rendah itu disebabkan pendapatan bukan faedah yang lebih kecil dan pelarasan yang lebih tinggi di pasaran terpilih.

Bank kedua terbesar negara dari segi aset itu berkata, pendapatan faedah bersih (NII) meningkat sebanyak 4.8 peratus, disokong oleh kestabilan pertumbuhan pinjaman pada 3.8 peratus serta perbelanjaan operasi yang terkawal.

Keuntungan bersih pada suku dikaji pula berjumlah RM508 juta, memberikan pendapatan sesaham bersih sebanyak 5.1 sen dan pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 3.7 peratus.

"Kami gembira dengan prestasi berterusan perniagaan asas. Pertumbuhan pinjaman kekal sihat di semua pasaran dan nisbah akaun semasa dan simpanan (CASA) kami meningkat dengan ketara kepada 36.5 peratus.

"Bagaimanapun, keuntungan dipengaruhi oleh keadaan perdagangan yang tidak menentu, pendapatan pertukaran asing (FX) yang rendah dan kredit terpencil yang menyebabkan peningkatan penyediaan di pasaran terpilih.

"Dengan krisis yang sedang berlaku, CIMB telah memasukkan langkah-langkah tambahan yang diperlukan bagi menyesuaikan diri dengan pandemik dan memastikan ketahanan terhadap persekitaran perniagaan yang tidak menentu.

"Ini termasuk mengutamakan keselamatan kakitangan dengan pengaturan kerja baru, bekerja sama dengan pelanggan untuk menjaga kualiti aset dan meningkatkan intensiti inisiatif pengurusan kos kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CIMB berkata, pendapatan operasi kumpulan pada suku pertama ini kekal stabil pada RM4.14 bilion.

NII berkembang sebanyak 4.8 peratus tahun ke tahun dengan margin faedah bersih (NIM) yang lebih rendah 2.44 peratus.

Walau bagaimanapun katanya, pendapatan bukan faedah (NoII) kumpulan menurun sebanyak 15.5 peratus tahun ke tahun, sebahagian besarnya disebabkan oleh perdagangan dan pendapatan FX yang lemah dari pasaran yang menerima impak COVID-19.

Perbelanjaan mengurus tetap terkawal, meningkat hanya 0.7 peratus sementara nisbah kos kepada pendapatan (CIR) yang lebih tinggi sebanyak 56.0 peratus disebabkan oleh pendapatan yang lebih lemah pada suku tersebut.

Suku pertama agak mencabar dan CIMB menjangkakan cabaran akan berlanjutan untuk sepanjang tahun ini. Walaupun begitu, kumpulan yakin bahawa sistem perbankan adalah jauh lebih kukuh ketika ini, memandangkan pengalaman yang diambil dari krisis sebelumnya dan pembaharuan yang dilakukan.

"Kumpulan juga memberi tumpuan untuk meringankan beban kewangan pelanggan dan komuniti kami. Kami terus

bekerjasama dengan kerajaan dan pengawal selia untuk memastikan sokongan kewangan diberikan kepada pelanggan

dalam tempoh penting ini.

"Pada masa yang sama, CIMB mempercepatkan beberapa rancangan tertentu, merangkumi inisiatif dan proses digital, untuk menyediakan persekitaran perbankan yang lebih lancar dan selesa dalam keadaan normal baru.

"Kami tetap komited untuk memberikan pulangan kepada pemegang saham dan yakin bahawa langkah-langkah ini aakan memastikan kelangsungan operasi kumpulan," katanya.

Berita Harian X