Khamis, 21 Mei 2020 | 6:22pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson - Foto ihsan Sime Darby
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson - Foto ihsan Sime Darby

Sime Darby tinjau beli firma pengedaran kereta China

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd meninjau peluang untuk mengambil alih syarikat pengedaran automotif di China, yang juga pasaran kenderaan terbesar dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata Sime Darby akan terus meninjau peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam sektor automotif, disokong kemampuan konglomerat itu dari segi kewangan termasuk tunai yang dimiliki.

"Ya (M&A). Kami adalah antara operator automotif yang besar di China. Ia bagus kerana sejak tiga tahun lalu, kami meraih untung dan pulangan yang baik di China.

"Kami mahu berkembang di China. Kami memiliki peluang menguasai kumpulan pengedaran di negara ini. Peluang ada disokong tunai dan paras gearan yang kekal kukuh.

"Ia adalah masa yang difikirkan sesuai untuk M&A meskipun dalam persekitaran mencabar akibat COVID-19," katanya pada sidang media maya mengumumkan prestasi kewangan Sime Darby, hari ini.

Turut serta ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sime Darby, Mustamir Mohamad dan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Sime Darby, Datuk Thomas Leong Yew Hong.

Mengulas mengenai daya tahan syarikat, Jeffri berkata, Sime Darby memiliki rizab yang mencukupi kekal bertahan di mana kebanyakan syarikat bergelut untuk berdepan kesan COVID-19.

Malah, katanya, konglomerat itu memiliki perancangan teratur dalam setiap operasinya selain menetapkan sasaran merangkumi kos, inventori dan perbelanjaan modal (capex).

"Persoalan ini bermain dalam fikiran semua syarikat. Mungkin lebih baik atau lebih buruk pasca COVID-19. Pada pandangan saya ada pasaran menjadi lebih kukuh dan sebaliknya.

"Untuk Sime Darby, kami adalah syarikat besar dan mempunyai rizab mencukupi untuk kekal bertahan lebih lama. Kami sudah rancang semuanya. Saya berpendapat kami akan akan baik-baik dalam senario wabak yang buruk ini," katanya

Sime Darby mencatatkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) RM265 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2020, susut 20.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ia disebabkan pendapatan dan keuntungan lebih rendah daripada bahagian perindustrian dan automotif di China, yang membayangi kenaikan dalam operasi perindustrian di Australia.

Namun, PBIT bagi tempoh sembilan bulan meningkat 7.5 peratus kepada RM1.1 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Berita Harian X