Selasa, 12 Mei 2020 | 8:33pm

Azman Tambi Chik dilantik CEO DBhd

KUALA LUMPUR: Damansara Realty Bhd (DBhd) melantik Azman Tambi Chik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan yang baharu berkuat kuasa 11 Mei 2020.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata sebelum menyertai DBhd, Azman pengurus besar pembangunan perniagaan AWC Bhd iaitu syarikat pengurusan kemudahan bersepadu (IFM) dan kejuruteraan.

Di DBhd, beliau yang berusia 56 tahun, akan bertanggungjawab memacu dan melaksanakan inisiatif strategik selain menerajui pengurusan keseluruhan pelbagai segmen kumpulan berkenaan termasuk IFM (yang menyumbang 90 peratus daripada pendapatan kumpulan) dan pengurusan projek serta perkhidmatan perundingan.

Sebelum ini, Azman telah menyandang beberapa jawatan kepimpinan seperti pengurus besar perkhidmatan korporat di QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd (bagi tempoh 2016-2017) dan pengurus besar (komunikasi strategik) di Johor Corp (2014-2016).

Sementara itu, Naib Pengerusi Eksekutif DBhd, Abdullah Md Yusof, berkata lantikan CEO Kumpulan yang baharu itu dapat memperkukuh pelaksanaan inisiatif strategik yang dirancang ketika kumpulan itu terus menerajui dan mengamalkan kebiasaan baharu serta cabaran industri susulan penularan COVID-19.

"Kami mengalu-alukan kehadiran Azman yang menjadi sebahagian daripada anggota pengurusan dan yakin pengalaman luas beliau dapat memacu kepimpinan pasukan ini. Pada masa sama, ia turut membolehkan kami semakin menghampiri matlamat untuk muncul sebagai antara peneraju penyedia pengurusan kemudahan dan aset di Malaysia," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X