Rabu, 6 Mei 2020 | 1:20pm
Seorang pekerja ladang solar berskala besar di Sepang sedang memeriksa panel solar yang berkapasiti
Seorang pekerja ladang solar berskala besar di Sepang sedang memeriksa panel solar yang berkapasiti

TNB Renewables guna aplikasi urus ladang solar

KUALA LUMPUR: TNB Renewables Sdn Bhd (TRe) menjalinkan kerjasama dengan Envision Digital International Pte Ltd (Envision Digital) untuk penggunaan aplikasi analisis data raya di ladang solar berskala besar (LLS) di Sepang, Selangor.

Kerjasama anak syarikat milik penuh syarikat utiliti elektrik negara Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Envision Digital adalah untuk meningkatkan produktiviti penjanaan tenaga dan kecekapan operasi projek berkenaan.

TNB dalam satu kenyataan berkata, ladang solar berkapasiti 50 megawatt (MW) itu adalah satu daripada projek solar terbesar di Malaysia yang mempunyai 238,140 panel solar dan mampu menjana lebih daripada 110,000 megawatt tenaga setiap jam (MWh) dalam tahun pertama operasinya pada tahun 2019.

Katanya, kerjasama dengan syarikat dari Singapura itu juga membabitkan penggunaan aplikasi analisis digital berasaskan teknologi awan seperti EnlightTM Solar, EnsightTM Solar dan Forecaster.

Menurut kenyataan itu, menerusi sistem operasi AloT (Artificial Intelligence of Things) oleh Envision Digital, aplikasi ini akan meningkatkan kemampuan TRe untuk menyumbang secara aktif kepada pembangunan serta penggunaan tenaga boleh diperbaharui daripada pelbagai sumber merentasi portfolio aset tenaga syarikat.

"Aplikasi EnsightTM Solar Monitoring akan membolehkan pasukan operasi TRe untuk mengakses status operasi secara masa nyata, lantas meningkatkan kecekapan operasi dan penyelenggaraan.

"Perisian analisis canggih EnsightTM Solar membolehkan TRe memantau prestasi penjanaan ladang solar secara terperinci.

"Manakala perisian pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (AI) membolehkan perisian Forecaster untuk meramal keadaan cuaca dan penajaan tenaga bagi memastikan TNB dapat mengurus bekalan dan permintaan grid secara efektif," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan TRe, Ir Mohd Yusrizal, berkata penyelesaian teknologi berinovasi membantu mempercepatkan perkembangan TRe dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

"Ladang solar di Sepang adalah projek solar berskala besar kami yang pertama di Malaysia. Dengan penggunaan perisian berasaskan teknologi awan, kami boleh memantau dan menganalisa prestasi ladang solar itu dari jauh serta mencapai pulangan pelaburan yang lebih baik.

"TRe juga komited dalam menggunapakai penyelesaian inovatif untuk memacu kemampuan kami bagi menjadi pemaju serta pengurus aset boleh baharu yang berdaya saing di Malaysia dan rantau ini," katanya.

Presiden Antarabangsa Envision Digital, Sylvie Ouziel, berkata projek berkenaan dapat meningkatkan produktiviti aset tenaga boleh diperbaharui sedia ada melalui penggunaan teknologi AloT sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk mencapai 20 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui pada 2025.

"Penggunaan AloT yang lebih meluas dalam sektor tenaga boleh diperbaharui diharap dapat meningkatkan manfaat daripada teknologi ini dan membantu mewujudkan masa depan serta sektor tenaga yang lebih lestari untuk rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X