Selasa, 7 April 2020 | 11:59am
Samsung catat peningkatan keuntungan operasi pada suku pertama 2020 - Foto AFP
Samsung catat peningkatan keuntungan operasi pada suku pertama 2020 - Foto AFP

COVID-19: Permintaan cip meningkat, Samsung raih untung

SEOUL: Samsung Electronics menjangkakan keuntungan suku pertama lebih tinggi, apabila jutaan pengguna yang bekerja dari rumah semasa penularan COVID-19 beralih kepada perkhidmatan data awan, sekali gus meningkatkan permintaan bagi cip.

Pandemik mencetuskan masalah dalam ekonomi global, menyaksikan Samsung sendiri menggantung operasinya di 11 kemudahan pemasangan luar negara, langkah yang dijangka menyebabkan kemelesetan.

Namun, perubahan corak tabiat pengguna di seluruh dunia yang terpaksa duduk di rumah memberikan sinar kepada pengeluar telefon pintar dan cip memori terbesar global itu.

Dalam tiga bulan pertama, keuntungan operasi meningkat 2.7 peratus berbanding 2019 kepada 6.4 trilion won (RM22.6 bilion), demikian menurut unjuran Samsung Electronics dalam anggaran perolehannya.

Angka itu di luar jangkaan, dan berdasarkan nilai jualan 55 trilion won (RM200 bilion), ia meningkat lima peratus tahun ke tahun.

“Terdapat permintaan tinggi bagi cip memori untuk pelayan data kerana jumlah pengguna yang bekerja dari rumah semakin meningkat disebabkan wabak ini,” kata penganalisis Counterpoint yang berpangkalan di Hong Kong, Tom Kang.

“Kita juga melihat permintaan meningkat bagi komputer riba kerana banyak syarikat yang tidak bersedia sepenuhnya bekerja secara digital.”

Samsung Electronics penting kepada kedudukan ekonomi Korea Selatan.

Ia anak syarikat utama kumpulan Samsung, konglomerat kawalan keluarga terbesar atau dipanggil ‘chaebols’ yang menguasai perniagaan dalam ekonomi ke-12 terbesar dunia itu.

Saham Samsung Electronics diniagakan 1.7 peratus lebih tinggi hari ini, selepas jatuh hampir 20 peratus daripada rekod tertinggi Januari lalu di tengah-tengah kebimbangan terhadap pandemik COVID-19 dan kesannya kepada ekonomi.

Jualan telefon pintar global susut 14 peratus pada Februari dengan China menyaksikan penurunan hampir 40 peratus, demikian menurut Counterpoint.

-AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X