Selasa, 17 March 2020 | 11:16am
KETUA Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd, Kapten Izham Ismail. NSTP/Rohanis Shukri
KETUA Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd, Kapten Izham Ismail. NSTP/Rohanis Shukri

Malaysia Airlines mampu bertahan

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines mampu mempertahankan operasi perniagaannya menerusi beberapa langkah yang sudah diumumkan syarikat induk, Malaysia Aviation Group (MAG) minggu lalu, meskipun berdepan cabaran getir susulan kekurangan permintaan penerbangan udara selepas penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Kapten Izham Ismail, berkata seperti syarikat penerbangan global yang lain, Malaysia Airlines turut berdepan dengan penurunan aliran kewangan dan operasi kumpulan kesan daripada COVID-19.

“Namun, kumpulan akan terus memastikan operasi berjalan dengan lancar walaupun berdepan dengan penurunan pendapatan disebabkan COVID-19.

“Kami akan sentiasa menjalankan langkah terbaik dan ketika ini masih menjalankan operasi seperti biasa. Kami mahu memulihkan kembali Malaysia Airlines,” katanya yang juga CEO MAG, kepada BH.

CAPA Centre for Aviation, sebuah firma analisis dan perunding penerbangan berkata, kebanyakan syarikat penerbangan di seluruh dunia akan muflis menjelang Mei ini tanpa tindakan tersusun oleh kerajaan dan industri untuk mengelakkan bencana itu.

“Permintaan semakin berkurangan yang sama sekali tidak pernah disaksikan sebelum ini. Rizab tunai semakin kehabisan kerana angkatan pesawat tidak beroperasi dan penerbangan yang ada pula, kurang daripada separuh tempat duduk diisi,” katanya dalam satu laporan semalam.

Dalam satu kenyataan menerusi e-mel kepada kakitangan MAG, Ketua Pegawai Kewangannya, Boo Hui Yee, berkata sekatan perjalanan oleh kebanyakan negara memberi cabaran lebih besar kepada operasi kumpulan.

Beliau berkata, permintaan telah merosot dan penumpang terus menghubungi pusat hubungan global MAG dan akaun media sosial untuk membatalkan tempahan.

Ini, katanya meletakkan kumpulan dalam keadaan kritikal dengan banyak syarikat penerbangan kini berisiko muflis.

Izham bagaimanapun menafikan kenyataan Hui Yee itu memberi maksud Malaysia Airlines akan muflis.

“Itu hanya mesej mingguan kami kepada kakitangan untuk bertindak dengan lebih agresif bagi meningkatkan operasi. Kami membuat perkara ini setiap minggu. Ia bukan bermakna kumpulan akan muflis,” katanya.

Minggu lalu, MAG mengumumkan beberapa langkah selaras dengan pengurangan operasi susulan pengurusan kapasiti ekoran penularan COVID-19 seperti pemotongan gaji kepada pengurusan kanan dan penawaran cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangannya.

MAG adalah syarikat induk kepada Malaysia Airlines Bhd, Firefly, MASwings, MAB Kargo, AeroDarat Services Sdn Bhd, MAB Academy, perkhidmatan penerbangan umrah dan haji Amal, perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering dan pajakan pesawat.

Sehingga kini, Malaysia Airlines sudah membatalkan lebih daripada 2,000 penerbangan sehingga April disebabkan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh negara dalam rangkaiannya.

Syarikat penerbangan global lain seperti Singapore Airlines, Cathay Pacific, British Airways, Lufthansa, Emirates, Virgin Atlantic dan EasyJet turut melaksanakan langkah mengawal aliran tunai dengan memotong kapasiti dan gaji serta menawarkan cuti tidak bergaji kepada kakitangan masing-masing.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X