Isnin, 16 March 2020 | 1:04pm
CELCOM Axiata Bhd
CELCOM Axiata Bhd

Untung bersih Celcom meningkat 100 peratus

KUALA LUMPUR: Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Celcom Axiata Bhd (Celcom) bagi tahun kewangan 2019 melonjak lebih 100 peratus kepada RM813 juta.

Aliran tunai bebas firma telekomunikasi itu meningkat 21.9 peratus, dipacu oleh pertumbuhan pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai (EBITDA), manakala perbelanjaan modal (CAPEX) berkurangan sebanyak 3.6 peratus.

EBITDA tahun ke tahun meningkat 7.8 peratus, dengan PATAMI mencatatkan kenaikan sebanyak 14.1 peratus.

Celcom mencatatkan penjimatan sebanyak RM283 juta melalui pelaksanaan mengoptimumkan kos di peringkat operasi dalaman secara menyeluruh.

Fokus syarikat kepada produk yang memberi nilai terbaik kepada pelanggan membolehkannya mengekalkan Purata Hasil Setiap Pengguna (ARPU) dalam pascabayar dan prabayar masing-masing sebanyak RM86 dan RM36 berbanding tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai prospek Celcom pada tahun ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi, inisiatif syarikat dalam tahun kewangan 2019 telah menyediakan platform yang unggul bagi kesinambungan kejayaan bagi 2020, dengan memacu pertumbuhan melalui inovasi, digitalisasi dan segmen perniagaan baharu.

“Celcom akan terus fokus kepada kecemerlangan operasi dan optimisasi kos. Kami akan melabur dengan bijak untuk menambah baik infrastruktur rangkaian dan mempertingkat kecekapan.

“Kami berharap untuk mengekalkan kepimpinan industri sebagai penyedia rangkaian terluas di Malaysia dan menyediakan pengalaman dan nilai terbaik kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Idham berkata, Celcom akan memacu pertumbuhan daripada segmen kediaman dan perusahaan dengan pelbagai produk inovatif termasuk permainan dan hiburan realiti maya (VR).

“Bagi segmen perusahaan, kami akan terus bekerjasama dengan rakan teknologi dan penyedia platform yang tepat bagi menyediakan penyelesaian dan aplikasi IoT hujung ke hujung dan berkualiti tinggi kepada

pelanggan di Malaysia meliputi segmen PKS, korporat dan kerajaan.

“Perjalanan Transformasi Celcom yang berterusan untuk menjadi ‘Organisasi Digital yang Menginspirasi’ di negara ini, akan diteruskan dengan meningkatkan penggunaan aplikasi IoT dan automasi proses robotik bagi kedua-dua proses dalaman dan juga kaedah berhadapan dengan pelanggan.

“Dengan memacu pendigitalan bagi pelbagai industri di Malaysia, disokong oleh kecekapan kos pelaksanaan 5G dan perkhidmatan inovatif terkini, kami tekad untuk membina situasi ‘menang bersama’ yang bermanfaat kepada rakyat, kerajaan dan juga ekosistem digital,” katanya.

Berita Harian X