Ahad, 15 March 2020 | 2:54pm
MALAYSIA Airlines menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada kakitangan
MALAYSIA Airlines menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada kakitangan

Malaysia Airlines tidak akan buang pekerja

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd tidak akan melakukan pembuangan pekerja di sebalik tawaran pilihan cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangannya berkuatkuasa bulan depan, ekoran COVID-19 yang menjejaskan kewangan syarikat itu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata tindakan pembuangan pekerja adalah langkah terakhir yang akan difikirkan oleh Malaysia Airlines.

“Buat masa ini, tiada keperluan bagi Malaysia Airlines melakukan pembuangan pekerja. Kementerian sudah menasihatkan pihak majikan mengambil beberapa tindakan seperti mematuhi peruntukan undang-undang Perburuhan, Perjanjian Kolektif sekiranya ada, dan Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan (COC).

“Meneruskan sesi libat urus dengan pekerja bagi memaklumkan perkembangan terkini berkaitan wabak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kementerian sentiasa memantau dan menasihatkan mana-mana majikan dalam setiap tindakan yang akan diambil lanjutan penularan COVID-19 yang membabitkan kebajikan pekerja.

“Ini bagi memastikan suasana keharmonian perusahaan di tempat pekerjaan akan kekal sihat dan kondusif tanpa menjejaskan kebajikan pekerja serta kelangsungan syarikat,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines dalam kenyataannya memaklumkan menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangannya berkuatkuasa bulan depan.

Kakitangan diberi pilihan secara sukarela untuk mengambil cuti selama lima hari tanpa gaji dalam tempoh sebulan sekurang-kurangnya tiga bulan atau satu hingga tiga bulan.

Saravanan berkata, pihaknya dalam satu mesyuarat bersama pihak pengurusan Malaysia Airlines pada Rabu, sudah dimaklumkan mengenai beberapa tindakan awal diambil sejak penularan COVID-19.

Di antaranya, kata beliau penerangan kepada semua pekerja oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat melalui sistem eVoice dan sesi libat urus, Selasa lalu.

“Bagaimanapun, pihak Malaysia Airlines memaklumkan bahawa proses lantikan baharu dan kenaikan pangkat akan dibekukan.

“Permohonan cuti sukarela terbabit perlu mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Ketua Jabatan (HOD) di Malaysia Airlines,” katanya.

Berita Harian X