Ahad, 23 Februari 2020 | 4:09pm
Notis penggulungan syarikat MAS dan MAS Kargo oleh pemiutang.
Notis penggulungan syarikat MAS dan MAS Kargo oleh pemiutang.

Notis pembubaran syarikat adalah MAS, MAS Kargo, bukan Malaysia Airlines Bhd (MAB) - CEO

KUALA LUMPUR: Notis penggulungan sukarela syarikat oleh pemiutang dan pelantikan penyelesai hutang (pelikuidasi) sementara adalah merujuk kepada Malaysia Airlines Systems Bhd (MAS) dan MAS Kargo Sdn Bhd (MAS Kargo), bukannya Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Kapten Izham Ismail, berkata penerbitan notis itu adalah langkah akhir dalam proses penyelesaian hutang MAS dan MAS Kargo, ia tiada kaitan dengan MAB.

MAS juga menerbitkan notis yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris pada Jumaat 21 Februari bagi anak syarikatnya, MASkargo Sdn Bhd.

“Notis berkenaan merujuk kepada MAS. Tiada kaitan dengan saya atau MAB.

“KPMG adalah penyelesai hutang dan mereka perlu mengumumkan perkara itu,” katanya dalam maklum balas ringkas kepada BH, hari ini.

Dalam notis yang disiarkan dalam akhbar tempatan, diterbitkan pelantikan pelikuidasi sementara MAS yang diluluskan pada 14 Februari lalu.

Ia memaklumkan pelantikan Chan Siew Mei sebagai pelikuidasi sementara MAS.

Siew Mei adalah Ketua Penasihat KPMG Malaysia iaitu syarikat perkhidmatan profesional dan antara juruaudit terkemuka bersama Deloitte, Ernst & Young (EY), dan PricewaterhouseCoopers (PwC).

Dalam notis berasingan, MAS turut mengumumkan penggulungan sukarela pemiutang dengan syarikat itu tidak lagi mampu meneruskan perniagaan disebabkan liabilitinya.

Ia turut memanggil mesyuarat antara MAS dan pemiutangnya pada 13 Mac ini.

Berita Harian X