X
Khamis, 13 Februari 2020 | 7:52pm
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Ng. - Arkib NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Ng. - Arkib NSTP

Untung bersih Sunway REIT meningkat

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) bagi suku kedua tahun kewangan 2020 yang berakhir 31 Disember 2019, meningkat kepada RM77.20 juta daripada RM66.45 juta dalam suku kedua 2019.

Perolehan meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.80 juta daripada RM139.50 juta sebelumnya disumbang oleh pendapatan baharu daripada kampus Sunway University and College yang baru diambil alih serta peningkatan prestasi di seluruh segmen.

Sunway REIT dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, sehubungan itu pendapatan hartanah bersihnya berkembang sebanyak 11.9 peratus tahun ke tahun kepada RM116.6 juta semasa suku berkenaan.

Menurut syarikat itu, segmen runcit kekal kukuh, dengan hasil meningkat kepada RM106.7 juta disumbang terutamanya daripada Sunway Pyramid Shopping Mall dan Sunway Putra Mall.

Segmen hotel mencatatkan pertumbuhan hasil dan pendapatan hartanah bersih masing-masing sebanyak 28 peratus dan 32 peratus tahun ke tahun kepada RM22.6 juta dan RM21.0 juta pada suku kedua 2020 berikutan penyambungan semula operasi dewan utama, bilik mesyuarat dan bilk fungsi di Sunway Resort Hotel and Spa selepa selepasi diubahsuai.

Bagi suku terbabit, syarikat itu mencadangkan agihan seunit (DPU) 2.45 sen.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Ng, berkata Sunway REIT mencatatkan DPU tinggi yang dicapai hasil daripada strategi pertumbuhan untuk terus meningkatkan pendapatannya menerusi pengambilalihan dan inisiatif pengurusan aset aktif. - BERNAMA

Berita Harian X