Selasa, 11 Februari 2020 | 1:41pm
Gambar fail, bangunan Geely Auto Research Institute di Ningbo, daerah Zheijiang, China. - Foto REUTERS
Gambar fail, bangunan Geely Auto Research Institute di Ningbo, daerah Zheijiang, China. - Foto REUTERS

Geely Automobile, Volvo Cars rancang penggabungan

BEIJING: Geely Automobile dan syarikat sekutunya, Volvo Cars merancang untuk bergabung dan disenaraikan di Hong Kong atau Stockholm.

Ia membolehkan Volvo mendapat akses kepada pasaran awam selepas menggugurkan rancangan untuk menyenaraikan sahamnya dua tahun lalu.

Langkah untuk menggabungkan kedua-dua unit perniagaan itu dibuat ketika pengeluar kenderaan global melaksanakan pakatan bagi meraih kos lebih baik susulan peralihan kepada kereta elektrik dan peraturan pelepasan lebih ketat.

Saham Geely melonjak setinggi 11.5 peratus kepada HK$15.28 hari ini.

Syarikat induk Geely, Zhejiang Geely Holding Group, membeli Volvo Cars daripada Ford Motor Co pada 2010.

Bersama jenama premium Polestar dan jenama segmen tenaga baharu Geely, Geometry, syarikat baharu itu akan memiliki lima jenama, dengan produk sedan mampu milik hinggalah kereta sukan mewah, sekali gus menandakan kemunculan pengeluar kereta global pertama China, kata penganalisis.

Masih belum jelas penilaian yang akan ditambah ke dalam Geely, syarikat bernilai AS$16 bilion yang disenaraikan di Hong Kong, dengan menyuntik aset Volvo ke dalamnya.

Jualan Geely meningkat sejak 2015 apabila produknya mula menggunakan teknologi Volvo.

Geely Automobile menjual 1.36 juta kereta pada 2019 dan menyasarkan untuk menjual 1.4 juta kereta tahun ini.

Volvo menjual kira-kira 700,000 kereta tahun lalu.

Gambar fail, kereta pengeluar kereta Sweden Volvo dipamerkan di hadapan bilik pameran syarikat Stierli Automobile AG di St Erhard, Switzerland. - Foto REUTERS
Gambar fail, kereta pengeluar kereta Sweden Volvo dipamerkan di hadapan bilik pameran syarikat Stierli Automobile AG di St Erhard, Switzerland. - Foto REUTERS

Volvo dan syarikat induknya pernah membincangkan tawaran awam permulaan (IPO) yang menilai pengeluar kenderaan itu antara AS$16 bilion dan AS$30 bilion sebelum menggugurkan rancangan itu pada 2018, kata sumber.

Volvo Cars dan Geely akan membentuk kumpulan kerja bersama untuk menyiapkan cadangan untuk lembaga pengarah masing-masing, kata syarikat terbabit dalam satu kenyataan.

Syarikat induk mempunyai beberapa pelaburan lain termasuk 9.7 peratus kepentingan dalam Daimler yang dibeli pada 2018, 49.9 peratus kepentingan dalam PROTON yang dibeli pada 2017 dan kepentingan majoriti dalam jenama kereta sukan Britain, Lotus.

Oktober lalu, Volvo Cars berkata akan menggabungkan aset pembangunan dan pengeluaran enjin bersama Geely, bagi mewujudkan unit untuk membekal kepada Lotus, LEVC, Lynk serta PROTON.

-Reuters

Berita Harian X