Jumaat, 7 Februari 2020 | 7:30pm

Firma ditaja Sunway RE mula dagangan di SGX

KUALA LUMPUR: Elite Commercial REIT yang ditaja oleh Sunway RE Capital memulakan dagangan dalam Pasaran Utama Singapore Exchange (SGX) pada £0.705, dengan paras tertinggi antara hari £0.715.

Ia kira-kira 3.7 peratus dan 5.1 peratus lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) £0.68.

Saham Elite Commercial REIT ditutup pada £0.71 seunit, kira-kira 4.4 peratus lebih tinggi berbanding harga IPO.

Pengarah Eksekutif Sunway RE Capital, Dr Tan Kok Heng, berkata Sunway RE Capital adalah unit hartanah persendirian Sunway Bhd yang ditubuhkan pada 2018 dengan matlamat membina aliran pendapatan stabil melalui pengurusan dana hartanah.

IPO Elite Commercial REIT adalah sebahagian pelan jangka panjang Sunway untuk mengembangkan portfolio pelaburan di pasaran antarabangsa terpilih.

Sunway RE Capital, yang juga anak syarikat milik penuh Sunway memiliki 8.9 peratus Elite REIT selepas IPO itu.

Penaja lain Elite Commercial REIT adalah Elite Partners Holdings Pte Ltd dan Ho Lee Group Pte Ltd.

Elite Commercial REIT mempunyai aset di bawah pengurusan kira-kira £320 juta (RM1.7 bilion) dan menyasarkan untuk mengembangkan portfolionya dari masa ke masa melalui potensi pembangunan tanah, termasuk menggandakan saiz aset Peel Park di Blackpool.

Pada 28 Januari lalu, Elite Commercial REIT melancarkan IPO, pada harga £0.68 atau S$1.21 seunit.

Pada tetapan harga itu, ia diterjemahkan kepada unjuran agihan pulangan 7.1 peratus untuk 2020 dan 7.2 peratus pada 2022.

Agihan akan diumumkan dalam mata wang pound Britain, manakala pemegang unit akan menerima agihan dalam dolar Singapura.

Berita Harian X