Jumaat, 17 Januari 2020 | 1:01pm

Khazanah, Telenor runding semula urus niaga Axiata

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd dan Telenor ASA merundingkan semula potensi urus niaga membabitkan Axiata Group Bhd, kata individu yang rapat dengan perkara itu.

Ia berlaku hanya empat bulan selepas kedua-dua syarikat telekomunikasi itu membatalkan rundingan penggabungan operasi Asia.

Sayap pelaburan kerajaan itu dan Telenor sedang dalam peringkat awal meneroka beberapa senario kemungkinan termasuklah Telenor membeli sebahagian kepentingan Khazanah dalam Axiata, kata individu itu, yang enggan dikenali kerana perbicangan itu adalah sulit.

Pembelian kepentingan itu akan merintis jalan untuk urus niaga berikutnya, seperti penggabungan aset menara Axiata dan Telenor, atau penggabungan dalam sebahagian pasaran, menurut indvidu berkenaan.

Satu lagi pilihan termasuklah penggabungan dan penyenaraian operasi pasaran utama kedua-dua syarikat telekomunikasi itu, katanya.

Saham Axiata melonjak sehingga lapan peratus awal dagangan semalam, paras tertingginya sejak September.

Saham Telenor melonjak setinggi 3.2 peratus di Oslo, paras antara hari tertinggi sejak Mei.

Ia ditutup meningkat 1.6 peratus, menjadikan nilai pasarannya mencecah AS$26 bilion.

Khazanah adalah pemegang saham terbesar Axiata dengan 37 peratus kepentingan, menurut data dikumpulkan Bloomberg.

Tiada keputusan akhir sudah dibuat mengenai mana-mana potensi urus niaga dan perbincangan itu mungkin tidak mencapai persetujuan, kata sumber.

Wakil bagi Axiata, Khazanah dan Telenor masing-masing enggan mengulas.

-Bloomberg

Berita Harian X