Khamis, 16 Januari 2020 | 9:01pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Annuar Nuruddin. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Annuar Nuruddin. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

TM, UMobile teroka peluang perkongsian 5G

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) dan U Mobile Sdn Bhd (UMobile) telah bekerjasama untuk meneroka peluang perkongsian rangkaian menggunakan rangkaian Projek Demonstrasi 5G (5GDP) TM sebagai platform.

Di bawah kerjasama ini, kedua-dua pihak akan meneroka beberapa model perkongsian infrastruktur rangkaian seperti Multi-Operator Core Node (MOCN) atau Rangkaian Akses Radio Operator Pelbagai (MORAN), kata syarikat itu dalam satu kenyataan bersama.

Kerjasama itu mengulangi komitmen kedua-dua pihak untuk membolehkan pelaksanaan yang cekap dan kos efektif untuk liputan 5G kawasan yang luas dan di pendalaman menjelang penggunaan infrastruktur berskala penuh di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Annuar Nuruddin berkata syarikat itu menjadi penyokong kuat mengenai perkongsian infrastruktur, ia menjadi kebiasaan di banyak negara termasuk 5G.

“Tatkala industri bersedia menghadapi gelombang pelaburan infrastruktur seterusnya untuk menyokong kes penggunaan 5G yang inovatif dan permintaan pelanggan yang terus berkembang untuk jalur lebar mudah alih, syarikat telekomunikasi (telcos) kini sedang mencari kaedah baharu bagi mempercepatkan penggunaan tersebut dalam pelaburan yang mencabar itu.

“Di sinilah kerjasama akan menjadi penting untuk syarikat telekomunikasi dalam era perkongsian rangkaian 5G,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UMobile, Wong Heang Tuck berkata 5G adalah keutamaan teras UMobile.

Dalam beberapa bulan lepas, ia telah menjalankan percubaan secara langsung untuk menggunakan potensi 5G yang tiada had untuk pelbagai kegunaan seperti penjagaan kesihatan.

“Kami bersedia untuk melancarkan perkhidmatan ini sebaik sahaja 5G tersedia secara komersial.

“Menerusi MoU ini, kami berharap dapat mewujudkan perkongsian menang-menang dengan TM pada bulan-bulan mendatang apabila kami menghampiri ketersediaan komersil 5G tahun ini,” kata Wong.

Sebelum spektrum tersedia pada tahun ini, kedua-dua telcos kini menjalankan ujian langsung 5G sepenuhnya dan pada masa yang sama menaik taraf rangkaian terasnya.

TM telah memulakan 11 kes penggunaan daripada sejumlah 35 kes penggunaan di bawah projek 5GDP yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Langkawi.

Kes-kes penggunaan yang digunakan oleh TM meliputi Smart City, Pelancongan Pintar dan Kluster Pertanian Pintar dengan memberi tumpuan menjadikan kehidupan lebih mudah, memenuhi keperluan dan meningkatkan kehidupan rakyat.

Bagi rangkaian 5G, TM telah memasang lapan daripada 26 tapak ujian 5G secara langsung di Langkawi.

Di samping itu, ia juga telah memulakan operasi Integrated Operations Command Centre (IOCC) atau dikenali sebagai TM 5G Command Centre (5GCC) yang menjadi pusat pelaksanaan 5G di Langkawi.

UMobile, sebaliknya, telah menggunakan rangkaian 5G di Langkawi dan menampilkan kes penggunaan 5G untuk Penjagaan Kesihatan, Pelancongan, Hiburan dan Jalur Lebar Mudah Alih (eMBB) yang dipertingkatkan. – Bernama

TAG:

Telekom Malaysia, U Mobile, 5G, Projek Demonstrasi 5G

Berita Harian X