Rabu, 15 Januari 2020 | 11:25am
Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie.

Tesco 'ambil alih' Shopee untuk Super Brand Day

Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd ‘mengambil alih’ platform e-dagang, Shopee pada Tahun Baru Cina (CNY) ini sempena Super Brand Day (SBD) yang pertama tahun ini.

Kempen selama tiga hari itu bermula kelmarin dan akan berakhir hari ini. Pada hari terakhir kempen, Super Brand Day akan menyaksikan peruncit itu mengadakan diskaun pada barangannya hingga serendah 50 peratus serta terbitan 2,000 keping baucar untuk pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie berkata, Tesco memahami bahawa musim perayaan memerlukan perbelanjaan yang banyak dan sebagai peruncit terkemuka Malaysia, tumpuan utama syarikat itu pada tahun baru ini adalah untuk membantu pelanggan menguruskan kos sara hidup seharian mereka.

"Sejak 2016 kami melaburkan usaha kami untuk melancarkan strategi harga jangka panjang, mengekalkan harga kami pada harga yang berpatutan tanpa menjejaskan kualiti demi membantu pelanggan.

“Kami kini ingin memperluaskan pendekatan ini kepada pelanggan kami yang berbelanja dengan kami di Shopee. Bersempena dengan debut SBD, kami menawarkan 2,000 keping baucar untuk direbut oleh pelanggan menerusi permainan dan pertandingan yang akan diadakan di platform Shopee semasa tempoh kempen," katanya.

Beliau berkata, menerusi langkah itu, Tesco bukan sahaja membantu pelanggan untuk menguruskan kos sara hidup, tetapi pada masa sama menjadikannya seronok.

Tesco kini menawarkan 1,600 barangan di Shopee dengan lebih daripada 400 produk jenamanya sendiri, Tesco Own Brand (TOB).

Dalam memperjuangkan produk berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan untuk pelanggan, harga rangkaian produk TOB adalah pada purata 10 peratus lebih murah daripada jenama terkemuka negara, malah kira-kira 80 peratus daripada TOB dibuat oleh perusahaan kecil dan sederhana tempatan.

Acara membeli-belah SBD Tesco akan menampilkan promosi hebat, hiburan dan keistimewaan eksklusif.

Di samping itu, mereka yang berada di Lembah Klang yang membuat pembelian sebelum jam 2 petang dapat menikmati penghantaran hari berikutnya (tidak termasuk hari Ahad dan cuti umum). Untuk menikmati tawaran menarik Tesco, layari https://shopee.com.my/m/tesco.

Berita Harian X