Khamis, 9 Januari 2020 | 3:19pm
KETUA Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Ignatius Ong (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif F&N Holding Berhad, Liew Yew Hoe (tengah) dan Pengarah Pemasaran F&N Holding Berhad, Graham Lim pada majlis pelancaran 'F&N Scales Up Its E-Commerce With Online Flagship Store' di Glasshouse at Seputeh. NSTP/Mustaffa Kamal

F&N guna platform e-dagang perkukuh jualan

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) memperkasakan aktiviti jualan dalam taliannya dengan memperkenalkan platform e-dagang, F&N Life.

Pengarah Pemasaran F&N, Graham Lim, berkata pengenalan platform itu diyakini mampu meningkatkan jualan produk syarikat secara dalam talian, sekali gus mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran e-dagang. .

Beliau berkata, F&N Life adalah platform e-dagang utama kumpulan selain jualan produk F&N dalam talian lain bersama dengan rakan e-dagang.

“Ia saluran alternatif kepada pelanggan kami, selain jualan dalam talian di pelbagai platform e-dagang. Selama ini, kami banyak bergantung kepada platform e-dagang lain untuk mencapai segmen pasaran dan pengguna baharu.

“Ini membolehkan kumpulan menjalin hubungan lebih kukuh dan permulaan yang baik untuk 2020 untuk meningkatkan jualan produk kami.

“F&N Life memudahkan pelanggan membeli produk kami pada harga berpatutan, terutamanya pada musim perayaan. Selain itu, platform ini juga akan memuatkan maklumat produk dan nilai khasiat pemakanan, menjadikannya lebih interaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan F&N Life di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe, berkata platform e-dagang memberikan potensi besar dan peluang untuk memacu pertumbuhan perniagaan jangka masa panjang, justeru syarikat bersedia melonjakkan perniagaan e-dagang ke peringkat seterusnya.

“Usaha melaksanakan startegi e-dagang secara lebih agresif memcerminkan komitmen kami mempelopori inovasi dan berkembang memenuhi keperluan pelanggan.

“Ia akan melengkapi rangkaian pengedaran fizikal kami, meningkatkan kehadiran di berbilang saluran, menjadikan penembusan pasaran lebih besar,” katanya.

F&N Life turut menjalin kerjasama dengan TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) sebagai rakan e-dompet rasminya.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Ignatius Ong, berkata pihaknya teruja menjalin kerjasama dengan F&N yang mengukuhkan lagi segmen e-dompet di Malaysia.

“F&N adalah rakan kerjasama yang juga syarikat dengan reputasi unggul di Malaysia. Kerjasama ini adalah penerus kepada perancangan kami dalam segmen e-dompet.

“Dengan lebih tujuh juta pelanggan, kami percaya jualan bersama TNG Digital akan menjadi pemangkin kepada rakan niaga.

“Kami juga menyasarkan peningkatan dua kali ganda jumlah pelanggan pada hujung tahun ini, begitu juga dengan rakan niaga yang ketika ini berjumlah 140,000,” katanya.

Berita Harian X