Rabu, 8 Januari 2020 | 1:26pm

Keuntungan Samsung merosot lebih satu pertiga

SEOUL: Keuntungan operasi Samsung Electronics susut lebih daripada satu pertiga pada suku keempat, demikian menurut anggaran pengeluar telefon pintar dan cip memori terbesar dunia itu.

Samsung terjejas oleh beberapa siri kesukaran pada 2019, dengan simpanan cip melonjak dan harganya jatuh, berbeza dengan pasaran beberapa tahun sebelum itu.

Pasaran telefon pintar premium juga menjadi begitu kompetitif dengan pembeli menunggu lebih lama sebelum menaik taraf kepada model baharu.

Namun, angka itu mengatasi jangkaan, kata penganalisis, dengan permintaan cip mula meningkat dan jualan telefon pintar bertambah kukuh.

Unjuran itu adalah peningkatan secara relatif, kerana keuntungan bersih pada tiga suku pertama 2019 merosot lebih daripada separuh berbanding setahun sebelumnya.

Samsung Electronics adalah penting kepada kedudukan ekonomi Korea Selatan.

Ia anak syarikat utama firma gergasi Samsung Group, yang terbesar dalam kalangan konglomerat kawalan keluarga dikenali sebagai chaebols yang menguasai perniagaan dalam ekonomi ke-11 terbesar dunia itu.

Dalam kenyataan panduan pendapatannya, Samsung Electronics mengunjurkan keuntungan operasi dalam tempoh Oktober hingga Disember berjumlah 7.1 trilion won (RM25 bilion), susut 34.2 peratus berbanding setahun sebelumnya.

Jualan diunjurkan tidak berkembang pada 59 trilion won (RM210 bilion), tambahnya.

Bagi seluruh 2019, ia mengunjurkan keuntungan operasi 27.7 trilion won (RM97 bilion), jatuh 52.9 peratus, dengan jualan susut 5.8 peratus kepada 229.5 trilion won (RM800 bilion).

Syarikat itu terkesan oleh pertikaian perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS), selain terperangkap dalam masalah diplomatik antara Seoul dan Tokyo, apabila Jepun mengenakan sekatan ketat terhadap eksport yang penting kepada gergasi teknologi Korea Selatan, Julai lalu.

Satu lagi isu yang membayangi firma itu adalah Naib Pengerusinya, Lee Jae-yong sedang dibicarakan buat kali kedua di atas skandal rasuah yang menyebabkan pemecatan bekas Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye.

-AFP

Berita Harian X