Isnin, 6 Januari 2020 | 1:00pm
KETUA Pegawai Eksekutif TNG Digital, Ignatius Ong. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KETUA Pegawai Eksekutif TNG Digital, Ignatius Ong. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

TNG eWallet sasar tambah rakan niaga PKS

KUALA LUMPUR: TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) komited memperluaskan lagi rangkaian rakan niaga perkhidmatan e-dompetnya, Touch ‘n Go eWallet (TNG eWallet) dengan meninjau menjalin kerjasama strategik dengan usahawan mikro serta syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Ketika ini, anak syarikat Touch ‘n Go Sdn Bhd itu mempunyai lebih 110,000 rakan niaga termasuk jenama besar di negara ini untuk TNG eWallet dan mengunjurkan jumlah rakan niaga itu akan meningkat paling minimum sekali ganda tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Ignatius Ong, berkata sebagai permulaan, pihaknya bercadang menjalin kerjasama strategik dengan PKS dan usahawan mikro terutama yang berada di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Alor Setar, Kuching dan Kuala Kinabalu.

Beliau berkata, tujuan memperluaskan rangkaian rakan niaga itu dengan merangkumi PKS dan peniaga mikro adalah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna TNG eWallet dan memenuhi keperluan masyarakat digital yang terus berkembang melalui ekosistem pembayaran yang lancar.

Katanya, pengguna berdaftar bagi TNG eWallet meningkat dengan pantas sejak ia diperkenalkan dengan kini berjumlah kira-kira 6.8 juta.

“Kami menyasarkan jumlah pengguna berdaftar TNG eWallet akan meningkat kepada 10 juta menjelang suku pertama 2020,” katanya kepada BH ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ong berkata, TNG Digital juga bercadang untuk memperkenalkan beberapa produk baharu berkaitan e-dompet tahun ini untuk memberikan pengalaman transaksi tanpa tunai yang lebih menarik dan mudah dicapai penggunanya.

Katanya, syarikat juga akan mengukuhkan lagi kerjasama dengan rakan niaga sedia adanya untuk menawarkan perkhidmatan yang pelbagai dan menarik hati penggunanya.

Beliau berkata, TNG Digital komited untuk memastikan perkhidmatan sistem pembayaran elektronik, Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang digunakan untuk pengutipan tol ke semua lebuh raya tahun ini.

Ketika ini, sistem pembayaran elektronik itu sudah digunakan di 25 lebuh raya.

“Tahun ini, kami berharap dapat memperluaskan perkhidmatan berkenaan di kesemua lebuh raya,” katanya sambil menambah bahawa pengguna berdaftar RFID kini sudah lebih sejuta.

Menyentuh mengenai isu berkaitan penggunaan RFID, Ong berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan TNG dan pengendali tol untuk memastikan kelancaran penggunaan sistem berkenaan.

TNG Digital merevolusi landskap eWallet di Malaysia dengan platform yang dipercayai, lancar dan mudah untuk pelbagai keperluan gaya hidup.

Syarikat usaha sama antara TNG dan Ant Financial itu juga ingin mewujudkan ekosistem tanpa tunai yang cekap dan berkesan serta dapat menjana peluang baharu untuk kesemua jenis perniagaan.

Berita Harian X