Khamis, 12 Disember 2019 | 5:09pm
DATUK Rosman Mohamed berucap sebelum melancarkan Kempen Emas 2 Kilo dan Kempen Gempak Bonanza 2020 di Menara Berkembar Bank Rakyat. - Foto BERNAMA
DATUK Rosman Mohamed berucap sebelum melancarkan Kempen Emas 2 Kilo dan Kempen Gempak Bonanza 2020 di Menara Berkembar Bank Rakyat. - Foto BERNAMA

Bank Rakyat perluas Pajak Gadai-i Ar-Rahnu

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat akan mengembangkan segmen Pajak Gadai-i Ar-Rahnu dengan menyasarkan sejuta pelanggan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Pemangku Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed, berkata setakat ini pihaknya mempunyai kira-kira 449,000 pelanggan yang sebahagian besarnya terdiri daripada kaum wanita.

Katanya, sebagai peserta utama, Bank Rakyat telah menguasai 60 peratus pasaran dalam segmen Ar-Rahnu.

“Ar-Rahnu adalah produk yang memang dipromosikan oleh Bank Rakyat, lebih-lebih lagi ia boleh menjamin kestabilan serta memberi peluang kepada usahawan yang memerlukan modal perniagaan.

“Selaras dengan Dasar Keusahawanan Negara, kami yakin segmen Ar-Rahnu ini adalah antara cara untuk membantu usahawan yang sukar untuk mendapatkan modal perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman pemenang Kempen Emas 2 Kilo dan pelancaran Kempen Gempak Bonanza 2020 di sini, hari ini.

Kempen Emas 2 Kilo yang dijalankan pada 27 Jun sehingga 27 Oktober 2019 adalah berkonsepkan ‘Pajak dan Menang’ yang menawarkan sebanyak 26 hadiah dengan nilai keseluruhan berjumlah hampir RM400,000 atau dua kilogram (kg) emas bersempena 26 tahun Ar-Rahnu Bank Rakyat diperkenalkan.

Sejak penganjuran kali pertama menerusi Kempen Emas 1 Kilo yang berlangsung dari 1 Ogos 2017 sehingga 31 Julai 2018, Bank Rakyat telah menyerahkan hadiah berjumlah hampir RM1 juta kepada pemenang.

Sementara itu, Bank Rakyat turut melancarkan kempen Gempak Bonanza 2020 yang akan berlangsung pada 16 Disember 2019 sehingga 16 Mac 2020.

Pelbagai hadiah lumayan ditawarkan kepada mereka yang melanggan Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Industri Kecil Sederhana (IKS), Pembiayaan Mikro-i dan Pajak Gadai-i.

Setakat ini, terdapat sebanyak 185 cawangan Ar-Rahnu Bank Rakyat dan 75 Ar-Rahnu X’Change di seluruh negara.

Berita Harian X