Rabu, 11 Disember 2019 | 6:01pm

Saham Aramco buat kemunculan sulung pasaran

RIYADH/DUBAI: Saham Saudi Aramco melonjak 10 peratus, paras maksimum yang dibenarkan daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) pada kemunculan sulungnya di pasaran saham Riyadh hari ini.

Ia membolehkan sahamnya menghampiri penilaian AS$2 trilion, yang begitu diharapkan oleh Putera Mohammed bin Salman.

Saham itu masing-masing melonjak kepada 35.2 riyal (AS$9.39), meningkat daripada harga 32 riyal dan pada had harian bergerak yang dibenarkan oleh Bursa Tadawul.

Ini menyaksikan nilai gergasi minyak dunia itu kira-kira AS$1.88 trilion, menjadikannya sebagai syarikat senaraian awam paling bernilai di dunia walaupun akan mempunyai salah satu ‘apungan bebas’ paling kecil saham dagangan awam pada 1.5 peratus.

Aramco menjana AS$25.6 bilion dalam IPO minggu lalu, menjadikan nilai pasarannya kira-kira AS$1.7 trilion.

Pengapungan saham itu, yang menjadi satu cabaran utama bagi bursa saham Riyadh, membolehkan bursa berkenaan kini melonjak menjadi 10 bursa teratas dunia dari segi nilai syarikat senaraian awam.

Arab Saudi bergantung kepada kebanyakan pelabur domestik dan serantau untuk membeli saham Aramco selepas minat hambar diterima luar negara.

Perolehan sebanyak AS$25.6 bilion itu mengatasi penyenaraian syarikat teknologi China, Alibaba sebanyak AS$25 bilion pada 2014.

"Ini adalah IPO yang berjaya dan penyenaraian Aramco akan menambah peluang bagi pasaran tempatan dengan menyediakan pendedahan kepada sektor ekonomi Arab Saudi yang utama," kata Pengarah Urusan MENA di Franklin Templeton Emerging Markets Equity, Bassel Khatoun.

“Kami berharap Saudi Aramco menggunakan penyenaraian Tadawul sebagai batu loncatan kepada penyenaraian antarabangsa.”

Saham Aramco memulakan dagangannya setengah jam selepas pasaran dibuka kerana bursa Arab Saudi membenarkan tambahan masa bagi ‘bidaan pemukaan’ semasa pelabur mengemukakan tawaran, berikutan jangkaan aktiviti dagangan yang tinggi.

Aramco akan mempunyai wajaran kedua terbesar indeks Tadawul pada 9.7 peratus, menurut Al Rajhi Capital.

Al Rajhi Bank mempunyai wajaran terbesar pada 14.6 peratus disebabkan apungan bebasnya yang lebih tinggi.

-Reuters

Berita Harian X