Selasa, 10 Disember 2019 | 4:04pm
KETUA Pegawai Eksekutif Alliance Bank Malaysia Bhd, Joel Kornreich berucap pada majlis pelancaran Cabaran Alliance Bank-EcoWorld BizSmart di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Alliance Bank-EcoWorld BizSmart tawar hadiah lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Musim terbaharu program keusahawanan Cabaran Alliance Bank-EcoWorld BizSmart, dijangka menarik sehingga 600 permohonan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berbanding 400 permohonan pada edisi sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Bank Malaysia Bhd, Joel Kornreich, berkata cabaran pada edisi keenam ini menawarkan hadiah lebih tinggi sehingga RM1.5 juta merangkumi wang tunai, tajaan produk dan liputan media.

“Cabaran ini menawarkan platform bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih berkesan.

“Selepas cabaran ini berakhir, pihak kami akan menawarkan sehingga RM5 juta pembiayaan bebas cagaran bergantung kepada jenis perniagaan dan melantik pasukan penasihat perbankan PKS khusus untuk membantu 20 finalis sepanjang perjalanan keusahawanan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran cabaran itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi EcoWorld Development Group Bhd, Tan Sri Liew Kee Sin.

Program anjuran bersama Alliance Bank dan EcoWorld itu mengalu-alukan peserta PKS di Malaysia yang sudah beroperasi antara satu hingga lima tahun dengan pendapatan setahun kurang RM50 juta.

Usahawan daripada mana-mana industri yang berminat boleh menghantar borang permohonan menerusi www.bizsmart.com.my selewat-lewatnya pada 6 Februari 2020.

Sementara itu, Kee Sin berkata, kerjasama unik dengan Alliance Bank bagi edisi terbaharu ini bertujuan mengenalpasti usahawan yang berpotensi dan melihat mereka membina perniagaan dengan berjaya.

“Kami berhasrat untuk menggalak dan membimbing kumpulan terbaharu ini meraih potensi maksimum mereka,” katanya.

Barisan mentor terdiri daripada pengasas BFM89.9, Malek Ali dan Ketua Perbankan PKS Alliance Bank, Ernest Kwong.

Manakala, Kornreich dan Kee Sin akan bertindak sebagai juri bagi cabaran ini.

Buat pertama kali, Cabaran Alliance Bank-EcoWorld BizSmart memperkenalkan ‘Instagra, Story Business Pitch’ yang mana peserta boleh mempromosikan perniagaan mereka menerusi format video.

Berita Harian X