Jumaat, 22 November 2019 | 7:26pm

PETRONAS tidak langgani IPO Aramco

KUALA LUMPUR: PETRONAS tidak bercadang mengambil bahagian dalam tawaran am permulaan (IPO) gergasi minyak Arab Saudi, yang dijangka bakal menjadi penjualan saham baharu terbesar di dunia.

Aramco merancang untuk menjual 1.5 peratus sahamnya kepada awam dalam tawaran itu, yang mana mampu menjana modal sehingga AS$25.6 bilion (RM106.71 bilion) dan menjadikan nilai pasaran keseluruhan syarikat itu antara AS$1.6 trilion (RM6.67 trilion) hingga AS$1.7 trilion (RM7.1 trilion).

Awal bulan ini, PETRONAS berkata Aramco ada mempelawa untuk menyertai penyenaraian saham firma petroleum itu.

"PETRONAS ingin mengesahkan bahawa selepas pertimbangan yang sewajarnya, syarikat itu telah memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam pelaksanaan tawaran awam permulaan Saudi Aramco," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

PETRONAS dan Aramco sebelum menjalin usaha sama dalam pembangunan kompleks penapisan dan petrokimia bernilai AS$27 bilion (RM112.5 bilion) di Pengerang, Johor, yang mula beroperasi secara komersial tahun ini.

Aramco memulakan proses tawaran jualan sahamnya pada 3 November lala selepas beberapa kali ditangguhkan.

Penyenaraian itu penting dalam rancangan Putera Mahkota Mohammed bin Salman menjana modal berbilion dolar dan dilaburkan dalam industri bukan minyak, justeru akan mewujudkan pekerjaan dan mempelbagaikan hasil produknya, selepas bergantung kepada eksport minyak mentah dunia.

Setakat ini, tiada syarikat atau dana milik kerajaan yang menyatakan secara terbuka mereka akan mengambil bahagian dalam IPO Aramco.

IPO Aramco telah menarik kira-kira 73 bilion riyal (RM81.15 bilion) tempahan langganan daripada pelabur institusi dan runcit, kata Samba Financial Group Arab Saudi kelmarin.

Pelabur institusi sudah melanggan 1.82 bilion saham bernilai 58.4 bilion riyal, katanya. - Reuters

Berita Harian X