Jumaat, 8 November 2019 | 10:36am

Rajawali bincang beli balik saham Eagle High

KUALA LUMPUR: Rajawali Group dan FELDA terus mencari penyelesaian terbaik dalam isu urusan jual beli saham syarikat Indonesia, PT Eagle High Plantations TPK (Eagle High), termasuk membeli balik 37 peratus saham syarikat perladangan itu pada harga jualan sebelumnya, AS$505 juta (RM2.1 bilion) dan kadar faedah sebanyak 6.0 peratus setahun.

Sumber rapat industri berkata, ia adalah antara penyelesaian yang dibincangkan antara Rajawali Group, syarikat pelaburan berpangkalan di Jakarta yang dikuasai hartawan terkemuka, Tan Sri Peter Sondakh dengan FELDA menerusi sesi dialog yang sudah beberapa kali diadakan.

Rajawali Group ketika dihubungi BH mengesahkan ia sedang berbincang dengan FELDA bagi menyelesaikan perkara itu.

“Rajawali Group terus berusaha menerusi sesi dialog konstruktif dengan FELDA, rakan kongsi kami dalam Eagle High, bagi mencapai keputusan terbaik dalam pelaburan bersama ini untuk jangka panjang.

“Bagaimanapun, perbincangan kami ini belum mencapai satu tahap yang mana kami boleh mengumumkan sebarang perkembangannya,” kata wakil rasmi syarikat berkenaan menerusi pesanan ringkas.

FELDA ketika dihubungi, bagaimanapun enggan mengulas perkembangan berkenaan.

Pada April lalu, FELDA membuat laporan polis mendakwa ditipu dalam urusan jual beli saham Eagle High pada harga AS$505 juta (RM2.3 bilion) berbanding harga sebenar AS$114 juta (RM520 juta) di pasaran pada Disember 2016.

Laporan polis itu dibuat Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan ketika itu mengarahkan FELDA membuat transaksi pada 2016 melalui syarikat tujuan khas (SPV) FIC Properties Sdn Bhd (FPSB) dengan PT Rajawali Corporation.

Othman berkata, tawaran untuk membeli Eagle High yang dimiliki Sondakh, individu yang dikatakan rakan Najib, diberikan kepada beberapa agensi, termasuk FGV Bhd, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (MRB).

Sebelum itu, pada Februari, The Straits Times Singapura melaporkan FELDA bercadang melupuskan pegangannya dalam Eagle High dan menuntut kembali lebih AS$500 juta yang dilaburkan ke atas ladang kelapa sawit serta aset pengeluaran berkaitan gula di Indonesia pada Mei 2017.

FELDA dilaporkan ingin menjual semula kepentingan ekuitinya pada harga pembelian AS$505.4 juta bersama faedah tahunan enam peratus yang harus ditanggung syarikat Indonesia berkenaan.

Berita Harian X