Khamis, 7 November 2019 | 9:43pm

PM lancar visi, misi baharu Agrobank

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan visi dan misi baharu Agrobank sempena sambutan Jubli Emas bank itu.

Dengan visi ‘memperkasakan pertanian melangkaui perbankan’ serta misi ‘meningkatkan taraf pertanian dan menyediakan sokongan berterusan untuk manfaat komuniti, ekonomi dan pemegang taruh’, Agrobank bersedia untuk lebih ke hadapan dalam memberi sokongan akses kewangan yang holistik kepada pelbagai segmen serta komuniti pertanian.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar, berkata pelancaran visi dan misi baharu itu tepat pada masanya bagi memastikan kelangsungan jaminan bekalan makanan negara terjamin dengan memberi peluang kepada lebih ramai agropreneur mengembangkan perniagaan mereka.

“Kami akan terus menyalurkan solusi perbankan yang baik dalam mencipta nilai dan impak positif kepada komuniti, ekonomi, persekitaran dan pihak berkepentingan kami sejajar dengan inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi perantaraan berasaskan nilai (VBI),” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran visi dan misi baharu Agrobank di sini, hari ini.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bergambar bersama tetamu kehormat pada Majlis Sambutan Jubli Emas AgroBank di Grand Hyatt. - Foto Aswadi Alias

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Khadijah berkata, setakat 2019, aset pembiayaan Agrobank mencapai lebih RM11 bilion, melepasi sasaran aset bagi 2020, sebahagian besarnya dibiayai oleh dana komersial.

Dari segi kualiti aset pembiayaan, Agrobank katanya berjaya menurunkan kadar pembiayaan tidak berbayar daripada 22 peratus bagi 2011 kepada 4.0 peratus pada 2019.

“Seiring hala tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Agrobank mencatatkan prestasi membanggakan dalam membantu meningkatkan taraf sosioekonomi dan pembangunan yang mampan.

“Untuk rekod, lebih 50,000 akaun pembiayaan kami adalah untuk menyokong perniagaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mana daripada jumlah ini sebanyak RM67 juta pembiayaan adalah bagi menyokong perniagan baharu.

“Lebih 80,000 akaun pembiayaan pula untuk menyokong usaha keselamatan makanan iaitu peningkatan sebanyak 21 peratus daripada 2017. Manakala, lebih 8,000 akaun pembiayaan kami adalah untuk golongan B40, peningkatan 33 peratus daripada 2017,” katanya.

Agrobank kini mempunyai 180 cawangan termasuk jaringan perkhidmatan melalui kiosk, sudut dan pusat agro di kawasan terpencil dan luar bandar.

Sebanyak 71 peratus rangkaian Agrobank berada di luar bandar bagi menyediakan rangkuman kewangan kepada segmen sasaran dengan nilai sebanyak RM9.6 bilion pada 2018, meningkat 15 peratus berbanding 2017.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima cenderahati dari Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Khadijah Iskandar (dua dari kiri) turut kelihatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tiga dari kanan) dan tetamu kehormat selepas melancarkan Visi dan Misi Baharu Agrobank pada Majlis Sambutan Jubli Emas AgroBank di Grand Hyatt. - Foto Aswadi Alias
Berita Harian X