Jumaat, 1 November 2019 | 5:46pm
Gambar fail, Tan Sri Halim Saad. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Gambar fail, Tan Sri Halim Saad. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Halim Saad bidas semula kenyataan PLUS

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad membidas semula kenyataan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) mengenai hutang dan kecekapan operasi pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia itu.

Halim mendakwa Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail tidak menjelaskan bagaimana pengendali lebuh raya itu masih mempunyai hutang berjumlah RM30.2 bilion.

“Bagaimana mungkin konsesi yang telah dianugerahkan pada harga RM3.4 bilion pada 1998 yang sepatutnya berakhir pada 2018, masih mempunyai hutang RM30.2 bilion pada 2019.

“Azman dan PLUS tidak menjelaskan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada BH dan NST.

Azman dalam kenyataannya sebelum itu berkata, kenyataan Halim mengenai hutang PLUS meningkat hampir 10 kali ganda daripada RM3.4 bilion, tidak tepat dan mengelirukan.

Azman menjelaskan apabila Syarikat Danasaham Sdn Bhd mengambilalih UEM Group Bhd dari Renong Bhd dan menswastakan UEMG pada 2001, PLUS telah menjadi syarikat yang berhutang dengan jumlah pinjaman sebanyak RM16.5 bilion setakat 31 Disember 2001.

Halim juga bertanya bagaimana mungkin PLUS membayar hanya RM700 juta daripada hutang RM30.2 bilion antara 2012 hingga 2018 apabila kutipan tol berjumlah melebihi RM24.5 bilion.

“Persoalan ini tidak dijawab dan ini membawa kepada persoalan lain, di mana wang itu pergi? Saya tidak melihat sebarang kenaikan atau pengambilalihan aset baharu, atau pengurangan dalam liabiliti,” katanya.

Halim mendakwa perbelanjaan PLUS adalah RM476 juta pada 2010 dan RM438 juta pada 2009, tetapi tidak ada yang direkodkan dari 2012 hingga 2018.

“Menurut kajian RAM pada 2001, PLUS perlu membayar cukai sebanyak RM1 bilion setahun,” katanya.

Mengenai hutang RM16.5 bilion yang diambil ketika tawaran pengambilalihan Khazanah Nasional Bhd dari UEM dan Renong, Halim mendakwa hutang berkaitan PLUS dijamin terhadap aliran tunainya.

Hutang bukan milik PLUS juga diperoleh daripada aliran tunai PLUS dan aset UEM dan Renong lain.

Laporan RAM bertarikh Mei 2001 menunjukkan bahawa nilai aset melebihi liabiliti sebanyak RM3.92 bilion.

Halim juga menegaskan bahawa perbelanjaan operasi PLUS pada RM1.33 juta setiap kilometer adalah tinggi.

Berita Harian X