Khamis, 31 Oktober 2019 | 4:37pm

Perniagaan cip jejas keuntungan bersih Samsung

SEOUL: Samsung Electronics, pengeluar telefon pintar dan cip memori global mencatatkan penurunan keuntungan bersih lebih separuh pada suku ketiga disebabkan kemerosotan dalam pasaran cip global.

Samsung dalam satu kenyataan berkata, keuntungan bersih kumpulan dalam tempoh tiga bulan hingga September adalah 6.29 trilion won (RM22.55 bilion), susut 52 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Pendapatan dari perniagaan cip dan memori merosot dengan ketara tahun ke tahun memandangkan harga cip memori terus jatuh," katanya.

Firma itu adalah anak syarikat Samsung Group, konglomerat yang menguasai perniagaan dalam ekonomi ke-11 terbesar di dunia.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Samsung berdepan dengan kejatuhan harga cip apabila bekalan global meningkat.

Samsung juga menghadapi cabaran dari perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, selain sekatan eksport yang dikenakan oleh Tokyo ke atas bekalan utamanya, berikutan pertikaian dengan Jepun.

Gergasi teknologi itu masih memimpin pasaran telefon pintar global dengan penguasaan 23 peratus pasaran, diikuti oleh pesaing dari China, Huawei dan Oppo, manakala Apple di tempat keempat, menurut perangkaan dari IHS Markit.

Pasaran telefon pintar premium telah berkembang pesat, namun jualan keseluruhan mula merosot kerana kekurangan inovasi utama yang menyaksikan pembeli menunggu lebih lama sebelum menaik taraf kepada model baharu.

Samsung berkata, keuntungan dalam bahagian mudah alihnya dirangsang oleh jualan kukuh Galaxy Note 10 dan peranti siri Anya, bersama-sama dengan margin yang lebih besar untuk model pasaran pengguna.

“Perniagaan itu juga memperluaskan tawaran produk 5G dan melancarkan Galaxy Fold, yang memperagakan kepimpinan teknologi Samsung," katanya.

Keuntungan operasi mencecah 55.7 peratus kepada 7.8 trilion won (RM28 bilion) pada suku ketiga, manakala jualan susut 5.3 peratus kepada 62 trilion won (RM220 bilion).

Bagaimanapun, penganalisis menyuarakan keyakinan untuk beberapa bulan hadapan dengan menyatakan bahawa tahap inventori yang lebih rendah untuk semikonduktor yang menyumbang lebih separuh daripada keuntungan Samsung, akan membantu menstabilkan harga cip selepas penurunan dua angka tahun ini.

Menambah lagi kesukaran firma itu adalah perbicaraan skandal rasuah Pengerusinya, Lee Jae-yong bermula minggu lalu.

-AFP

Berita Harian X