Khamis, 31 Oktober 2019 | 8:00am

PLUS warisi hutang lebih besar

PLUS Malaysia Bhd (PLUS) menjelaskan dakwaan Tan Sri Halim Saad bahawa hutang syarikat itu meningkat hampir 10 kali ganda daripada harga tender RM3.4 bilion sebagai tidak tepat kerana hutang yang diwarisi daripada pemilik sebelumnya adalah lebih besar.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata apabila Syarikat Danasaham Sdn Bhd (yang kemudian memindahkan semua asetnya kepada Khazanah Nasional Bhd) mengambil alih UEM Group Bhd (UEMG) daripada Renong Bhd dan UEMG diswastakan pada 2001, PLUS adalah anak syarikat milik penuh UEMG.

Namun, katanya, PLUS mempunyai hutang sedia ada dengan jumlah pinjaman sebanyak RM16.5 bilion pada tahun kewangan 31 Disember 2001.

“Jumlah ini hampir tiga kali lebih tinggi daripada angka yang dinyatakan dalam kenyataan Tan Sri Halim Saad,” katanya kepada BH dan NST.

Lanjutan daripada itu, beliau menjelaskan, UEMG di bawah pemegang saham baharu, Danasaham, menyenaraikan PLUS di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), yang kini dikenali sebagai Bursa Malaysia melalui tawaran awam permulaan (IPO) pada 2002 dengan nilai sebanyak RM12.75 bilion, yang berjaya mengurangkan hutang PLUS kepada RM7.2 bilion.

“PLUS disenaraikan di Bursa Malaysia selama sembilan tahun dan sepanjang tempoh berkenaan, PLUS berjaya mengembangkan perniagaannya melalui pemerolehan lebuhraya dalam negara serta pinjaman mereka termasuklah ELITE dan LINKEDUA.

AZMAN Ismail
AZMAN Ismail

“PLUS kemudian dijadikan syarikat persendirian pada November 2011 di bawah tawaran bersama daripada UEMG dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), berdasarkan penilaian yang diluluskan RM23 bilion, untuk menangani kehendak yang berbeza di antara pelabur asing, institusi dan pelbagai pihak berkepentingan di dalam negara berhubung isu kenaikan kadar tol.

“Oleh yang demikian, bagi membiayai kos penswastaan sebanyak RM23 bilion serta pembiayaan balik pinjaman PLUS berjumlah RM11.5 bilion, PLUS menerbitkan Sukuk Islam terbesar berjumlah RM30.6 bilion pada Januari 2012,” katanya.

Mengulas lanjut, Azman berkata, antara perkara yang perlu diambil kira adalah PLUS tidak menaikkan kadar tolnya selama 14 tahun sejak 2005 dan kadar tol semasa bagi setiap kilometer di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) adalah salah satu yang terendah di negara ini.

Beliau menegaskan, keuntungan yang diterima PLUS diagihkan kepada pemegang sahamnya, KWSP dan Khazanah Nasional (melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group), seterusnya memberi manfaat kepada 14 juta pencarum KWSP iaitu rakyat serta kerajaan.

“Pihak pengurusan baharu sudah memperkasa perubahan dengan menggunakan teknologi dan transformasi digital untuk mengurangkan cabaran dan halangan yang wujud dengan zara melakukan sesuatu yang lebih baik di PLUS.

“Inisiatif ini akan meningkatkan keselamatan pemandu dan produktiviti kakitangan, seterusnya dapat mengurangkan kos.

“Kami tetap komited dalam usaha berterusan menyediakan pengalaman perjalanan di lebuh raya yang lebih selamat, lancar dan selesa untuk pelanggan,” katanya.

Berita Harian X