Rabu, 30 Oktober 2019 | 1:40pm

Khazanah kekal pendirian tidak berminat jual PLUS

KUALA LUMPUR: Pemegang saham utama PLUS Malaysia Bhd, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) kekal dengan pendiriannya tidak berminat untuk menjual aset strategik itu kepada mana-mana pihak.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Redzuan, berkata seperti yang diperkatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, cadangan yang dibentangkan adalah tidak menarik.

"Kita tidak berada dalam ‘mood’ untuk menjual aset itu (PLUS). Buat masa ini, pendirian kami belum berubah," katanya ketika ditemui di Sidang Kemuncak Korporat PNB 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pendirian Khazanah susulan konglomerat pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu, Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) menaikkan tawaran bidaan PLUS kepada RM5.3 bilion berbanding RM3 bilion sebelum ini.

Ia termasuk dalam cadangan untuk menguasai 100 peratus kepentingan ekuiti ke atas pengendali lebuh raya itu.

Shahril Ridza juga menegaskan beliau belum melihat cadangan yang dikemukakan oleh WBG itu.

Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS manakala bakinya dimiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan pengambilalihan pada 2011 dengan nilai transaksi RM32 bilion.

Berita Harian X