Jumaat, 25 Oktober 2019 | 2:23pm
KETUA Pegawai Eksekutif Maxis, Gökhan Ogut

Prestasi operasi suku ketiga Maxis mantap

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd (Maxis) mencatatkan prestasi operasi yang mantap pada suku ketiga berakhir 30 September 2019.

Pengendali perkhidmatan telekomunikasi itu mencatatkan pertumbuhan hasil perkhidmatan yang didorong oleh perniagaan teras berdaya tahan, purata hasil setiap pengguna (ARPU) yang stabil dan momentum positif dalam penyelesaian konvergen.

Maxis mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta margin EBITDA yang sihat, dengan pertumbuhan aliran tunai operasi bebas yang kukuh menyokong dividen interim ketiga bersih lima sen sesaham.

Bagi suku dikaji, hasil perkhidmatan Maxis meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada RM1.94 bilion berbanding RM1.918 bilion suku terdahulu, disokong oleh prestasi teras yang berdaya tahan.

Ia mengekalkan kepimpinan dalam segmen pasca bayar, dengan ARPU bulanan yang tinggi sebanyak RM90 dan peningkatan pelanggan pasca bayar seramai 128,000 orang, membawa jumlah keseluruhannya kepada 3.2 juta pelanggan.

Dengan asas yang lebih besar, pembabitan pelanggan yang kukuh dan

penggunaan data yang tinggi, hasil pasca bayar termasuk hasil borong Maxis pada suku dikaji meningkat kepada RM979 juta berbanding RM972 juta suku sebelumnya.

Sementara itu, prestasi prabayar lebih kukuh, dengan dengan hasil segmen itu menokok kepada RM794 juta daripada RM791 juta.

ARPU bulanan kekal tinggi pada RM41, dengan penggunaan aplikasi Hotlink RED yang kukuh sebanyak 61 peratus dan penggunaan data sebanyak 15.2 GB.

Maxis turut mencatatkan pertumbuhan perniagaan fiber yang kukuh, dengan sambungan fiber baharu meningkat sebanyak 34,000 menjadikan keseluruhan pelanggan perkhidmatan itu 344,000 orang.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gökhan Ogut, berkata prestasi suku ketiga adalah kukuh, dengan banyak unsur positif dalam segmen perniagaan syarikat.

“Matlamat konvergen kami berada di landasan yang tepat dan kami

menunjukkan kemajuan yang baik dari segi strategi pertumbuhan perusahaan dengan menjalin kerjasama yang kukuh dan terus membina asas fiber kediaman mantap selaras dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

“Kami sudah melangkah ke hadapan dengan kesediaan 5G dan komited untuk melancarkannya sebaik sahaja spektrum disediakan,” katanya.

Berita Harian X